suria

Kereta disekat, peniaga online cedera kena tetak dengan parang... Polis tahan 2 suspek

Mangsa cedera di tangan dan kepala selepas diserang dengan parang.

SEORANG peniaga dalam talian cedera di kepala dan tangan selepas dia disamun di sebuah pangsapuri di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Video kejadian itu yang dirakam oleh saksi turut tular di media sosial.

Dalam klip tersebut, dua kereta menghalang trak pikap dinaiki mangsa dan tiga lelaki bersenjatakan parang mula menyerangnya yang berada di tempat duduk pemandu.

Suspek membuka pintu kenderaan secara paksa dan mula menetak mangsa yang cuba melarikan diri.

Suspek bersenjata mengejarnya dengan berjalan kaki, menetaknya sekali lagi sebelum menyamun lelaki itu dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arrifin berkata, kejadian berlaku di lobi pangsapuri itu kira-kira jam 9.45 pagi Isnin.

rompakan2

Dua suspek ditahan, manakala tiga yang lain masih diburu oleh pihak berkuasa.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, polis menahan dua lelaki berusia 40 dan 45 tahun.

“Suspek pertama ditahan pada hari sama kejadian kira-kira jam 10.15 pagi berhampiran Horizon Hills manakala polis kemudian menangkap suspek kedua pada jam 9 malam di Gelang Patah,” katanya pada Khamis.

Melalui siasatan kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam rompakan itu, di mana mereka melanggar kereta mangsa sebelum menyamunnya.

Beliau berkata polis turut merampas barangan daripada suspek termasuk senjata yang digunakan dalam rompakan dan wang tunai RM10,000 dipercayai wang curi.

Mangsa mendapatkan rawatan perubatan di sebuah hospital swasta dan telah dibenarkan keluar kerana berada dalam keadaan stabil.

“Kami sedang memburu tiga lagi suspek yang terlibat dalam rompakan itu,” katanya sambil menambah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan kedua-dua yang sudah ditahan direman sehingga Sabtu untuk membantu siasatan. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain