suria

Samseng sekolah ‘flying kick’ rakan dalam tandas dicekup... Polis tahan 9 pelajar bantu siasatan kes buli

Tangkap layar video menunjukkan seorang pelajar dibuli di tandas sekolah.

POLIS menahan sembilan remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini, yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth.

"Saya mengesahkan polis menahan sembilan remaja lelaki berhubung dua video membabitkan dua kes pergaduhan dipercayai berbeza di sekolah yang sama, semua mereka ditahan secara berasingan.

"Pegawai penyiasat sedang mengambil rakaman percakapan semua tangkapan dan kemungkinan kita akan membenarkan diberi jamin polis pada hari ini memandangkan mereka pelajar sekolah serta bawah umur," katanya.

Menurut Khaw, suspek terdiri daripada lapan pelajar sekolah dan seorang lagi sudah tidak bersekolah.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 147 akta sama kerana merusuh.

Terdahulu tular di media sosial dua insiden pergaduhan berasingan di sekolah yang sama dan rata-rata netizen marah dengan tindakan kumpulan remaja itu.

Antaranya, sebuah klip video berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam tandas.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang menjadi 'penonton' aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain