suria

Kadar pengangguran turun kepada 3.5 peratus... Kerjasama strategik pelbagai agensi berjaya

Pencari kerja di karvival kerjaya di Klang, Selangor baru-baru ini.

KADAR pengangguran negara berjaya dikurangkan kepada 3.5 peratus atau 588,700 orang pada suku tahun pertama tahun ini berbanding 599,600 pada suku tahun keempat 2022.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, berkata kadar pengangguran antara negeri juga menurun, selari dengan penurunan kadar pengangguran nasional.

Katanya Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1 peratus), Pulau Pinang (2.3 peratus) dan Negeri Sembilan (2.5 peratus).

"Ekonomi negara kekal kukuh dan stabil pada suku pertama 2023 dengan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 5.6 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulihkan kepercayaan sektor pendidikan tinggi negara - Mohamed Khaled

ARTIKEL BERKAITAN: Jangkaan pakar ekonomi meleset! BNM naikkan kadar OPR kepada 2.0 peratus

"Kejayaan ini adalah atas kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama strategik Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Talentcorp, Human Resource Development Corp (HRDC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran berjaya mengurangkan kadar pengangguran negara.

Tambah beliau, penyediakan portal pekerjaan MyFutureJobs iaitu platform secara maya, bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran, gaji dan keperluan majikan, untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan.

Sivakumar di majlis Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Negeri Selangor 2023.

"Seramai 793,086 orang pencari kerja, berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023," katanya.

Dalam merancakkan penawaran pekerjaan majikan kepada pencari kerja, Sivakumar berkata Perkeso melaksanakan program temu duga di semua pejabat negeri secara harian dan mingguan, serta melaksanakan Karnival Pekerjaan yang berskala besar.

Beliau berkata, bagi tahun ini sebanyak 4,130 program disasarkan dan setakat April 2023, sebanyak 1,127 program telah dilaksanakan, dengan 5,121 orang pencari kerja berjaya mengisi kekosongan pekerjaan.

Selain itu, Sivakumar berkata kerajaan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, yang meliputi bidang latihan bagi mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran dan isu pengangguran dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain