suria

Dinding flat Loke Yew tercabut akibat ribut... Penghuni rumah rakam video dari dalam, memang menakutkan!

Dinding rumah ini tercabut kerana ribut di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

KEROSAKAN harta benda dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur apabila hujan lebat dan ribut melanda ibu kota pada petang Jumaat.

Antara yang menyebabkan ramai tergamam adalah apabila dinding sebuah unit di rumah pangsa Loke Yew tercabut dibawa angin kencang.

Dalam satu hantaran yang tular di Twitter, dapat diperhatikan bahagian dalam unit pangsapuri tersebut terdedah kepada dunia luar setelah dindingnya 'hilang'.

Video lain dipercayai dikongsikan pemilik unit terbabit menunjukkan pemandangan kota Kuala Lumpur dari ketinggian aras rumahnya yang menyebabkan rasa gayat.

"Allhauakbar, angin tadi memang kuat betul," kedengaran perbualan dalam video itu.

Melewati ruangan ciapan balas, warga maya mengatakan selain ribut yang luar biasa, keadaan pangsapuri itu yang sudah dimamah usia juga berkemungkinan menjadi faktor.

Pemandangan ngeri dari rumah yang tercabut dindingnya.

"Flat ni pun dah lama dan kalau tak silap bahagian rumah ni macam lego, ada bahagian yang pakai kayu.

"Tak sangka bangunan tinggi-tinggi macam tu ada yang pakai kayu," kata sebahagian warga maya.

Memetik laporan The Star, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima laporan berkaitan pokok tumbang di 10 lokasi sekitar ibu negara antara pukul 7:30 dan 8 malam semalam.

"Di Jalan Sultan Ismail sebatang pokok tumbang menghempap dua kereta Toyota Yaris dan Proton Exora manakala di Taman Bukit Angkasa pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Myvi.

Pokok tumbang menghempap kenderaan di sekitar Kuala Lumpur. Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Besi

"Empat kereta dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ayer Jernih, Setapak dan sebuah Toyota Alphard turut dihempap pokok tumbang di Bayu Mont Kiara, Sri Hartamas.

"Sementara itu, lima buah motosikal dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Pejabat Kesihatan Kepong," katanya.

Antara kawasan lain yang terjejas termasuk di Kampung Attap, Flat Danau Kota, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan buat masa ini dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain