suria

Tragedi awal pagi... 2 maut bas persiaran terbabas di LPT2.

Keadaan bas persiaran yang terbabas di Kilometer 375, LPT2.

DIKEMASKINI

DUA maut selepas sebuah bas persiaran terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian pukul 5.20 pagi, bas persiaran tersebut terbabas di Kilometer 375 LPT2 dekat Ajil, menghala ke Bukit Besi di Dungun, Terengganu.

Seorang mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira pukul 9.15 pagi.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.20 pagi berhubung kejadian.

"Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, seorang daripada mangsa yang maut tercampak keluar dari bas terbabit.

"Seorang lelaki yang dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin Negeri Sembilan menghala ke Kuala Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya kira-kira 50 meter sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

"Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Redang, Kuala Nerus sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

"Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun cedera parah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk diberi rawatan lanjut," katanya.

Baharudin berkata, semua maklumat mangsa yang cedera serta cedera parah masih belum diperolehi.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain