suria

Padah panas baran angkara lemang tak masak, peniaga belasah pelanggan ditahan

Seorang pelanggan mengalami kecederaan di telinga kiri selepas dipukul dengan buluh lemang

SEORANG peniaga di Jalan Bukit Beruang Utama, Melaka ditahan polis selepas insiden pertengkaran dengan pelanggan yang mendakwa lemang dijual tidak masak.

Bermula hanya bertikam lidah, peniaga itu kemudiannya hilang sabar lalu memukul pelanggan tersebut dengan menggunakan buluh lemang sehingga mengakibatkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan pada Sabtu di Jalan Kota dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan dijalankan.

"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan campak lemang tak masak, peniaga naik hantu nak pukul guna batang buluh

Terdahulu tular hantaran mengenai peniaga lemang yang didakwa bersikap biadab hingga menyebabkan seorang pelanggan mengalami kecederaan.

Christopher berkata, insiden bermula apabila mangsa yang merupakan pesara tentera menunjukkan lemang tidak dimasak dengan sempurna kepada peniaga, namun dia enggan melihatnya.

Kecederaan mangsa dipukul peniaga lemang. foto Facebook

Peniaga itu kemudian membelah salah satu lemang yang dibeli mangsa dan menunjukkan lemang masak sepenuhnya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, tindakan mangsa yang mencampakkan lemang di dalam bekas plastik pada suspek serta merakam video menyebabkan suspek 'naik angin'.

"Suspek marah kerana pengadu campak lemang yang dikatakan tidak masak kepadanya dan juga merakam video menyatakan gerai tersebut menjual lemang yang tidak masak.

"Suspek kemudian memukul pengadu menggunakan buluh lemang," katanya.

Tambah Christopher, mangsa mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri dan tangan kanan terkena serpihan buluh lemang.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka," tambahnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain