suria

Kecoh ‘Thai Hot Guy’ datang KL... Rupanya lesen restoran tamat tempoh, permit hiburan pun tiada!

Kehadiran pelayan lelaki berbadan sasa yang berpakaian dalam wanita dari Thailand ditentang ramai.

KECOH di media sosial mengenai acara pembukaan rasmi sebuah bar di Kuala Lumpur yang bakal menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa.

Lebih mengundang keresahan ramai apabila pelayan lelaki dari Thailand itu cukup terkenal dengan gimik berpakaian dalam wanita untuk melayan pengunjung.

Susulan itu, Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri menerima laporan berkenaan acara hiburan tersebut yang bakal dianjurkan sebuah bar di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya meneliti iklan yang dimuat naik di Facebook bar tersebut.

"Pihak kami mendapati acara hiburan berkenaan bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

"Justeru, hasil siasatan awal daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mendapati bahawa premis tersebut adalah dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd," katanya.

Acara penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar.

Azman bagaimanapun berkata, lesen restoran syarikat terbabit tamat tempoh pada 4 Februari 2021.

"Selain itu, premis tersebut juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.

"DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur," katanya lagi.

Terdahulu, selain rungutan orang ramai, parti PAS merupakan antara pihak yang membantah keras penganjuran acara tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, acara berkenaan disifatkan sebagai keterlaluan, tidak sensitif dan menjijikkan.

Ini kerana katanya, acara itu jelas berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan apatah lagi diadakan pada bulan Ramadan.

"Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

"Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.

"Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini," ujar beliau lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain