suria

Kes Ebit Lew: Saksi dedah ada lagi laporan polis dibuat di Bukit Aman

Ebit ketika keluar dari mahkamah majistret selepas menghadiri prosiding perbicaraan hari kedua.

SATU lagi laporan polis dibuat di Bukit Aman oleh seorang wanita berkaitan aktivis terkenal, Ebit Lew.

Perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37.

Mohd Fairuz berkata demikian pada sesi pemeriksaan balas terhadapnya oleh peguam, Ram Singh yang mewakili Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, dalam perbicaraan hari kedua pendakwah berkenaan.

Beliau memaklumkan bahawa dia tahu bahawa laporan polis telah dibuat, bagaimanapun dia tidak tahu apa yang berlaku kepada kes itu.

"Saya rasa pihak polis yang perlu beritahu perkembangan kes berkenaan, lagipun saya telah membantu wanita ini dari segi menemani beliau ketika membuat laporan polis, menghubungkan beliau dengan peguam MRM (Multiracial Reverted Muslims).

"Saya telah menjalankan apa yang termampu oleh saya," katanya pada sesi perbicaraan yang masuk hari kedua berkaitan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom di Kota Kinabalu, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew masuk hari kedua, terus jadi tumpuan

ARTIKEL BERKAITAN: Kes gangguan seksual, Ebit Lew tiba di mahkamah Tenom hadiri perbicaraan

Mohd Fairuz turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mengetahui di mana wanita itu telah membuat laporan polisnya dan berada bersama wanita itu sebagai saksi polis.

"Ya saya tahu, di Bukit Aman. Bahkan, saya menjadi saksi dan memberi keterangan kepada pihak polis," katanya.

Mohd Fairuz turut mengakui bahawa dia terlibat dalam laporan polis wanita itu selain peguam daripada MRM serta bahagian wanita MRM selain memaklumkan bahawa laporan polis itu dibuat pada 26 Julai 2021.

Dalam perbicaraan pertama yang berlangsung pada Selasa, Mohd Fairuz mendedahkan bahawa laporan polis berhubung kes yang sedang dibicarakan itu telah dilakukan pada 7 Ogos 2021 oleh seorang wanita dari Tenom yang dibuat di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Bagi menjawab soalan Ram berhubung perbelanjaan yang perlu dihadapi wanita berkenaan dari Tenom untuk membuat laporan polis di Bukit Aman, Mohd Fairuz bersetuju dengannya.

"Tetapi kos berkenaan ditanggung oleh MRM, bukan saja kes seperti ini bahkan kes-kes yang lain juga yang dikendalikan MRM," katanya.

Bagaimanapun, dalam soalan sebelum itu, beliau mengakui ada mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis di Sabah iaitu balai polis yang paling dekat di Tenom.

Perbicaraan sesi pagi berkaitan kes gangguan seksual yang dihadapi Ebit Lew ditangguhkan tengah hari dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang Rabu.

Sebelum itu, perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, Nur Masrin Amalia.

Ebit diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain