suria

Pelitup muka tak lagi wajib dalam pesawat - Khairy

Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam kapal terbang. foto EPA-EFE

PEMAKAIAN pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pesawat, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan dalam kenyataan pada Rabu berkata, protokol baharu itu berkuat kuasa serta-merta.

"Protokol baharu itu dibuat berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19 serta mengambil kira keperluan terkini," katanya.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi kumpulan individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema dan individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik.

Pada 7 September lalu, KKM mengumumkan kelonggaran mengenai pemakaian pelitup muka dan memutuskan penggunaannya di dalam bangunan (indoor) adalah pilihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemakaian pelitup muka dalam kawasan tertutup dah tak wajib - Khairy

Tambah Khairy, keputusan yang dibuat itu adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang seperti pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.

"Selain itu KKM turut mengambil kira susunan tempat duduk ke hadapan, kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang serta beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kelonggaran yang diumumkan itu juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand dan Singapura.

"Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat ditetapkan oleh negara yang dikunjungi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain