suria

Mihas 2022 lonjak momentum industri sektor halal

Pengunjung mencuba makanan daripada salah satu peserta pameran Mihas ke-18. - IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PENGANJURAN showcase perdagangan seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) akan melonjakkan peningkatan jualan yang lebih tinggi, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan hasil jualan di pameran tahunan itu akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Malah, peningkatan jualan dalam sektor halal akhirnya akan melonjakkan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Selain itu, ia membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada (perniagaan) Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa," katanya semasa majlis perasmian Mihas ke-18 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur.

Ismail Sabri menambah, jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion telah dijana melalui Taman Perindustrian Halal Malaysia (Taman Halal) setakat ini, dengan RM9.5 bilion atau 59 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Mihas ke-18 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Perdana Menteri merasmikan Mihas ke-18 di Mitec di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Inisiatif penubuhan Taman Halal adalah untuk memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia, yang merupakan hab halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar dan terdapat 22 taman seumpama itu di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 14 Taman Halal strategik menerima status Halal Malaysia (Halmas) daripada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tumpuan dunia! 400 pembeli antarabangsa sertai INSP Mihas 2022, syarikat tempatan rugi jika tak manfaat peluang

"Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur bertaraf dunia, buruh berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal serta insentif daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.

"Terdapat 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di Malaysia, di mana 42 daripadanya adalah syarikat multinasional," kata Ismail Sabri lagi.

Mihas membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada syarikat Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa.

"Industri halal bukan sahaja tertumpu kepada sektor makanan dan minuman, tetapi juga industri dan perkhidmatan lain.

"Peluang industri halal untuk berkembang sentiasa terbuka luas memandangkan jumlah penduduk Islam mencecah 1.9 bilion orang di seluruh dunia tahun lepas.

"Ia menunjukkan bahawa terdapat potensi untuk industri halal dipelbagaikan, dan menjadi lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka panjang," tambahnya.

Pameran Mihas akan dibuka kepada peniaga dan orang ramai sehingga esok (Sabtu).

Sebanyak 1,258 gerai terdiri daripada peserta pameran tempatan dan antarabangsa menyertai edisi tahun ini yang bertemakan 'Mempelbagaikan Potensi Halal'.

MIHAS

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau pameran Mihas yang diadakan di Mitec, Kuala Lumpur.

Pada sidang akhbar kemudian, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Shahrimaton Mat Salleh berkata pameran tahun ini turut merangkumi kluster industri baharu, iaitu seni dan kraf Islam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mustafa Abdul Aziz berkata agensi itu akan meneruskan usaha menggalakkan perniagaan halal serta meneroka pasaran baharu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong pula berkata, memandangkan Malaysia menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), negara anggota juga akan dikira sebagai pasaran baharu untuk industri halal. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain