suria

Malaysia tumpuan dunia! 400 pembeli antarabangsa sertai INSP Mihas 2022, syarikat tempatan rugi jika tak manfaat peluang

INSP Mihas 2022 menjadi tuan rumah kepada 400 pembeli antarabangsa.

MALAYSIA menjadi tumpuan serata dunia menerusi penganjuran Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-18 (Mihas) 2022.

INSP Mihas 2022 yang berlangsung pada 6 September dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ia membabitkan mesyuarat perniagaan yang telah diatur, secara fizikal dan maya, yang menggalakkan urus niaga dagangan antara pembeli antarabangsa serta pembekal produk dan perkhidmatan Halal Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, INSP Mihas 2022 menjadi tuan rumah kepada 400 pembeli antarabangsa dari lebih 50 negara sekitar rantau Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah, Asia Selatan, Asean, Oceania dan Afrika.

"INSP Mihas 2022 membuka peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia berhubung dengan para pembeli premium dari negara-negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki.

"Para pembeli ini mewakili beberapa konglomerat, runcit dan pasar raya terbesar di negara-negara tersebut," katanya.

mihas 2

INSP Mihas 2022 dianjurkan oleh Matrade.

Mohd Mustafa berkata, sejumlah 2,760 mesyuarat perniagaan diatur semasa acara fizikal INSP Mihas pada 6 September.

"Pada tahun lalu, INSP Mihas menghubungkan sebanyak 385 syarikat Malaysia dengan 333 pembeli antarabangsa, sekali gus menjana nilai urus niaga berjumlah RM749.1 juta bagi pengeksport Malaysia.

"Kami meramalkan program ini akan mencatatkan kejayaan yang setanding pada tahun ini. Oleh yang demikian, kami amat menggalakkan syarikat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang hebat ini bagi mengembangkan eksport mereka ke pasaran baharu dengan menemui pembeli antarabangsa dan menerokai kerjasama antara segmen," katanya.

INSP Mihas 2022 3

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

INSP Mihas pada tahun ini menyaksikan para pembeli antarabangsa berhasrat untuk berhubung dengan syarikat-syarikat Malaysia dalam segmen-segmen berikut:

13 Kluster Mihas 2022:

- Makanan dan minuman

- Perkhidmatan dan pemudahcara industri

- Kosmetik dan penjagaan peribadi

- Fesyen santun

- Teknologi makanan

- Farmaseutikal

- Media dan rekreasi

- E-dagang

- Kewangan Islam

- Pelancongan mesra Muslim

- Francais

- Pendidikan

- Kesenian dan kraf Islam

Produk/ perkhidmatan lain

- Ramuan makanan

- Mesin pemprosesan makanan

- Pembungkusan

Syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai produk dan perkhidmatan halal digalakkan untuk mendaftar melalui pihak urusetia Mihas INSP tanpa sebarang caj.

Mesyuarat perniagaan B2B secara maya dilakukan menerusi platform mesyuarat maya berdasarkan ketersediaan pembeli dan penjual, sehingga 31 Ogos.

mihas 3

Syarikat-syarikat Malaysia berhubung dengan para pembeli premium dari negara-negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki.

Sementara itu, mesyuarat B2B fizikal pula diadakan pada 6 September di Matrade, sehari sebelum pameran Mihas 2022 bermula pada 7 September.

Penganjuran program tahun ini secara hibrid adalah sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan negara.

Mihas 2022 ke-18 yang berlangsung selama empat hari bermula 7 September disasarkan menarik penyertaan 1,200 pempamer yang terdiri daripada syarikat tempatan yang mempromosikan produk halal.

Ia akan memberi penekanan khusus kepada agenda untuk membantu pemain tempatan dan antarabangsa bagi melihat inovasi dan inisiatif mampan serta pertumbuhan ekonomi halal.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Urusetia INSP melalui talian +603 6207 7553/ 7548 atau emel ke [email protected].

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mihas 2022, sila layari www.mihas.com.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain