suria

Pasangan kekasih remaja ditemui tak bernyawa dalam kereta, disyaki keracunan gas karbon monoksida

Polis kini menunggu laporan bedah siasat mengenai punca sebenar kematian pasangan berkenaan. Gambar hiasan

DUA remaja yang ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kereta di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Melaka, merupakan pasangan kekasih, kata polis Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal, polis menolak sebarang unsur jenayah berhubung kematian lelaki berusia 20 tahun itu dan teman wanitanya yang berusia 16 tahun.

Kedua-duanya ditemui tidak bernyawa sekitar pukul 9.25 pagi Rabu (7 September).

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya tidur dalam kereta... tanpa bau atau rasa, keracunan karbon monoksida pembunuh senyap!

Beliau berkata pegawai penyiasat kini cuba menghubungi ahli keluarga kedua-dua si mati sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

"Kami sedang berusaha untuk menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan hubungan mereka tidak direstui ahli keluarga atau apa-apa sebab lain yang boleh menyebabkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata punca kematian pasangan kekasih tersebut disyaki akibat keracunan gas karbon monoksida.

Razali berkata gadis itu dihantar bertemu dengan lelaki berkenaan di lokasi kejadian pada pukul 4 petang Selasa (6 September) oleh rakannya.

Beliau menambah, polis akan menunggu laporan bedah siasat mengenai punca sebenar kematian pasangan berkenaan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain