suria

FIM2022 promosi industri francais di peringkat global, sasar potensi pelaburan RM450 juta

Alexander Nanta Linggi (tengah) merasmikan FIM2022.

SELEPAS dua tahun dianjurkan secara dalam talian akibat pandemik Covid-19, Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM2022) kembali diadakan secara fizikal bermula 8 hingga 10 September.

FIM2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menyaksikan penyertaan hampir 100 jenama francais dalam dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, FIM2022 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan industri francais di peringkat antarabangsa.

"FIM2022 bukan sahaja mempromosikan perniagaan francais dan mengukuhkan industri francais tempatan, tetapi juga memberi peluang kepada francaisor untuk mengembangkan jaringan perniagaan di peringkat global.

"Ia juga merupakan platform paling berkesan untuk menyatukan francaisor di seluruh dunia melalui perkongsian pengalaman, idea dan pengetahuan bagi meningkatkan perkembangan industri francais Malaysia," ujar Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Perasmian FIM2022 di KLCC.

FIM2022 dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), menyasarkan kehadiran 14,000 pengunjung dengan potensi pelaburan bernilai RM450 juta.

fim2

FIM2022 menyaksikan penyertaan hampir 100 jenama francais dalam dan luar negara.

Selain aktiviti utama pameran dan persidangan antarabangsa, FIM2022 turut menganjurkan sesi rundingan perniagaan, sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dan bakal usahawan francais, sesi perkongsian melalui Franchise Pit-Stop serta aktiviti edutainment.

FIM2022 juga merupakan satu-satunya program pameran dan persidangan francais antarabangsa di Asia Tenggara dengan rekod penganjuran selama 28 tahun.

Sementara itu, Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan berkata, program kali ini juga membawa panel-panel penceramah bertaraf antarabangsa untuk berkongsi ilmu mereka berkaitan industri francais yang semakin berkembang.

"FIM2022 menampilkan lebih 20 panel penceramah bertaraf antarabangsa dengan tajuk perkongsian yang sangat relevan dengan situasi semasa.

"Antara intipati persidangan pada tahun ini adalah trend pasaran terkini, pengembangan perniagaann ke pasaran antarabangsa, perundangan francais, perkongsian strategi dan tips menghadapi cabaran ekonomi semasa.

"Besar harapan kami agar persidangan ini dapat memberi manfaat kepada peserta dan membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih relevan, future-proof dan stabil," ujarnya lagi.

Orang ramai turut dijemput hadir ke FIM2022 kerana pelbagai aktiviti disediakan serta peluang untuk mendapatkan maklumat mengenai perniagaan francais yang ditawarkan oleh pengendali francais tempatan dan antarabangsa.

Penganjuran FIM2022 mendapat kerjasama daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Secure Robotics, Q-Solve, Harta Maintenance, Marrybrown, Seer Marketing, Bubblebee, My Laksa, At Tea, Ayam Penyet Best, Boat Noodle, Siti Khadijah dan Smart Reader Kids.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain