suria

Lima mangsa rentung disahkan pelajar Usas, pemandu treler direman bantu siasatan

Keadaan kereta dan treler yang terbakar dalam kejadian tengah malam tadi. Foto: Bomba Perak

KESEMUA lima individu yang rentung dalam kemalangan tengah malam tadi (Rabu) berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, sudah pun dikenal pasti.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta); Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan); Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Mangsa merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Kuala Kangsar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan dua kereta sedan.. empat maut, seorang rentung

Perkara itu disahkan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usas, Dr Ahmad Zaki Hasan ketika dihubungi.

Menurutnya, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.

"Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.

"Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis telah menahan reman pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, tahanan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dibawa lelaki itu tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara lalu merempuh belakang kereta jenis Honda City yang dinaiki lima mangsa terbabit.

Menurutnya, rempuhan menyebabkan kereta mangsa yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain