suria

Padah miliki heroin, pil yaba bernilai RM10,500... dua lelaki ditahan, seorang diburu

Rampasan dadah dan pil yaba.

PADAH miliki 30 gram heroin dan 50 biji pil yaba, dua lelaki yang bekerja sebagai tukang cat ditahan sepasukan polis di Kampung Bechah Tendong di Pasir Mas, Kelantan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penahanan suspek berusia 37 dan 38 tahun ketika mereka sedang menunggang motosikal dilakukan selepas menerima maklumat berkait dadah pada jam 1.45 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek penggal kepala ibu sebab tak dapat duit beli dadah - Polis

"Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) bersama anggota Balai Polis Bunut Susu membuat pemerhatian selama lima minit di tepi jalan Kampung Bechah," katanya pada Rabu.

Menurutnya, dua lelaki terbabit ditahan selepas menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas kemudian bertindak menahan kedua-dua lelaki tersebut untuk membuat pemeriksaan dan menemui heroin dan pil yaba dianggarkan bernilai RM10,500 dalam beg silang yang diletakkan dalam raga motosikal berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun itu mengaku barang dadah terbabit miliknya dan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki di Kampung Aur Cina, Slow Machang," katanya.

Menurutnya, usaha memburu lelaki berkenaan kini giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain