suria

Miliki 51 saman kesalahan trafik, pemandu bas ‘lalok’ ditahan

Tindakan pemandu bas berusia 44 tahun itu turut dirakam oleh pengguna jalan raya.

TINDAKAN seorang lelaki memandu bas secara berbahaya pada pagi Ahad lalu membawa padah apabila dia akhirnya ditahan pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, pemandu bas tambang henti itu dikesan melanggar lampu isyarat merah di Simpang 3, Batu 8, Lunas pada jam 11.40 pagi sebelum memecut laju melalui Pekan Padang Serai hingga ke kawasan Sungai Karangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu 4 anak confident bawa bas seluruh pelusuk negara, tak kisah orang perkecil kemampuan diri - “Ada yang takut nak naik”

"Cara pemanduannya sangat berbahaya sehingga turut melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

"Walau bagaimanapun, orang awam berjaya menghentikan bas itu di hadapan Balai Polis Sungai Karangan," kata beliau.

Tindakan pemandu bas berusia 44 tahun itu turut dirakam oleh pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati tiada penumpang dalam bas berkenaan ketika kejadian dan suspek di bawah pengaruh syabu ketika pemanduan.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek dikehendaki polis kerana tidak hadir ke Mahkamah Johor Bahru atas pertuduhan penagihan dadah pada tahun 2019.

"Selain itu, dia juga mempunyai 51 saman kesalahan trafik yang mana lima daripadanya berstatus waran tangkap," katanya.

Tambah, Sazalee bas terbabit adalah milik sebuah syarikat pengangkutan di Kulim dan skim insurans serta cukai jalan masih belum tamat tempoh.

"Suspek yang berasal dari Taiping Perak telah bekerja selama dua tahun bersama syarikat berkenaan dan mempunyai lesen memandu yang sah.

"Bas terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (Isnin). Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain