suria

Perhatian! Diskaun saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember - KPN

Pelanjutan tempoh itu adalah untuk memberi peluang kepada semua rakyat menyelesaikan kesemua saman-saman tertunggak. Gambar hiasan

DEK kerana sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, tempoh diskaun pembayaran saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sejak 9 Disember, sebanyak 2.3 juta saman bernilai RM109 juta telahpun dijelaskan.

"Sambutan yang diterima begitu menggalakkan di kaunter kami semasa program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menyukarkan SOP penjarakan fizikal dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM kutip saman RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam

"Kami memutuskan untuk membuka semua kaunter trafik di seluruh negara kepada mereka yang berhasrat menjelaskan saman trafik.

"PDRM memutuskan untuk memberi peluang kepada semua rakyat menyelesaikan kesemua saman-saman tertunggak mereka dengan kadar yang sama sehingga 31 Disember ini.

"Pelanjutan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan di kaunter trafik ketika ini," katanya.

Beliau menambah, diskaun pembayaran saman tersebut turut ditawarkan bertujuan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi sebilangan besar rakyat Malaysia yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

Sementara itu, Acryl Sani berkata mereka yang ingin menjelaskan saman trafik secara dalam talian boleh berbuat demikian melalui portal www.mybayarsaman.rmp.gov.my.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim dipetik berkata, orang ramai dinasihatkan melayari portal berkenaan di luar waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan talian, memandangkan ia beroperasi 24 jam sehari. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain