PENULARAN video kes buli melibatkan seorang pelajar hangat diperkatakan netizen negara ini. Ada yang meluahkan rasa marah atas tindakan pembuli, tak kurang juga yang simpati dengan nasib mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan kes buli sedang dijalankan, 10 pelajar ditahan setakat ini Dalam perkembangan terbaharu, mangsa buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar itu telah menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa berusia 13 tahun itu menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Selangor. Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan doktor, mangsa ada mengalami kecederaan tisu lembut dalam badan. "Keadaannya stabil, namun masih dirawat di hospital untuk pemantauan doktor," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. Beliau berkata, bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Selangor. "Keterangan mangsa telah diambil untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes ini," katanya. Mior Faridalathrash dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan seramai 10 pelajar lelaki telah dipanggil untuk beri keterangan bagi membantu siasatan kes itu. Daripada 10 yang dipanggil itu, sembilan pelajar berusia 13 tahun manakala seorang berusia 15 tahun, kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan. Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI