suria

Pusat Satelit MYFutureJobs dilancar, bantu mudahkan akses masyarakat luar bandar dan OKU kepada peluang pekerjaan

Ismail Sabri (tengah) bergambar di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

KOMITED untuk membantu meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar kepada peluang pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso melancarkan inisiatif Pusat Satelit MYFutureJobs.

Majlis pelancaran Pusat Satelit MYFutureJobs disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis pelancaran tersebut diadakan serentak dengan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia yang telah berlangsung daripada 9 hingga 11 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia talian hayat ‘mangsa’ era Covid-19... jangan lepaskan peluang, konsep hibrid memang berbaloi

Ia disaksikan oleh barisan menteri termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

"Pusat Satelit MYFutureJobs ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti profiling, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan.

"Menerusi kemudahan ini juga, orang ramai khususnya pencari kerja warga tempatan boleh memanfaatkan kemudahan bagi mengakses peluang-peluang pekerjaan yang diiklankan dari seluruh negara menerusi Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs," menurut kenyataan Perkeso, Ahad.

Sehingga kini, sebanyak 43 Pusat Satelit MYFutureJobs telah beroperasi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 61 cawangan pusat satelit akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, lebih 24,100 jawatan kosong ditawarkan kepada pencari kerja oleh sekurang-kurangnya 75 buah majikan daripada pelbagai sektor dan industri yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti temuduga secara bersemuka di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia.

"Sepanjang tiga hari berlangsungnya karnival pekerjaan ini, seramai 233 individu telah berjaya ditawarkan pekerjaan serta-merta manakala 1,259 individu lagi telah melayakkan diri ke proses temuduga peringkat kedua, dengan jumlah pendaftaran keseluruhan yang diterima melebihi 6,500 pencari kerja dari pelbagai golongan termasuk graduan dan OKU," menurutnya lagi.

2

Ismail Sabri beramah mesra dengan pencari kerja yang hadir ke Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antara majikan yang membuat pengambilan pekerja tertinggi adalah UMW Corporation, Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), 7 Eleven Malaysia dan Bank Muamalat.

Karnival pekerjaan yang menghubungkan para majikan dan pencari kerja dari serata negara ini turut menawarkan kekosongan jawatan dalam bidang profesional, selain dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat seperti digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya bagi sesi temuduga.

Bagi meneruskan kejayaan penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia ini, KSM menerusi Perkeso akan menganjurkan Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) pada 14 Disember di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Karnival sehari khas buat golongan OKU ini akan melibatkan penyertaan daripada 16 buah majikan pelbagai sektor seperti Padini, AEON, McDonald's Malaysia, Nando's, Kyochon, DTEC Energy, Teleperfomance Malaysia dan Apar Technologies yang menawarkan lebih 1967 jawatan kosong.

"Perkeso ingin menyeru dan mempelawa golongan OKU yang aktif mencari pekerjaan untuk menyertai karnival ini dengan membuat pra-pendaftaran menerusi pautan https://bit.ly/KarnivalOKU2, selain berpeluang menerima Insentif Mobiliti di bawah program PenjanaKerjaya sehingga RM1,000 jika ditawarkan pekerjaan," menurutnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Perkeso https://www.perkeso.gov.my atau portal MYFuturejobs di https://www.myfuturejobs.gov.my.

Bagi majikan yang berminat untuk menyertai program temuduga atau karnival kerjaya anjuran Perkeso, sila hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000 atau emel ke [email protected].

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain