suria

Rezeki tersekat ketika PKP, peniaga pasar malam, pengusaha teh dan rempah ini dah mampu tersenyum... mujur ada NCER!

Mizal merupakan antara usahawan muda yang dicungkil potensinya menerusi program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda sejak lebih setahun lalu ternyata membawa impak besar buat penduduk negara ini.

Sepanjang tempoh getir itu, segelintir individu bagaikan kering air mata menangisi nasib diri serta perniagaan yang diusahakan mereka.

Disebalik fasa penuh mencabar, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tampil dengan program-program berteraskan rakyat seperti seperti empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, JomNiaga@NCER dan entreprenuerNCER.

Ia sekaligus dapat membantu golongan rentan di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak untuk terus bersemangat meneruskan hidup biarpun teruk terkesan dek pandemik Covid-19.

Peniaga pasar malam bangkit

Antara yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu tentunya peniaga pasar malam berusia 20 tahun dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Mizal Aiman Sulaiman mula berniaga alat permainan kanak-kanak di pasar malam sejak tahun 2018 dan mengakui sumber rezekinya hampir lesap gara-gara pandemik yang melanda.

Malah katanya, dia pada waktu itu buntu dengan situasi yang berlaku dan hilang arah untuk mencari pendapatan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarganya.

"Sejak umur 18 tahun, saya berniaga permainan kanak-kanak di pasar malam. Kemudian PKP melanda, pasar malam pun tak boleh dibuka.

"Pada waktu itu saya tertanya-tanya, macam mana nak cari duit? Tapi nak tak nak, saya tetap kena cari duit, nak teruskan hidup dan sara mak. Mak saya hanya peniaga kuih sejak 30 tahun lepas," ujarnya.

Biarpun hanya mempunyai latar belakang pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, Mizal tetap komited untuk mencari peluang baharu dalam mengembangkan potensinya sebagai usahawan.

ncer2

Setelah bergelar usahawan, Mizal turut mengambil inisiatif sendiri untuk membantu golongan muda yang lain dengan menyediakan peluang kerja buat mereka.

Dia akhirnya menemui sinar baharu apabila diperkenalkan dengan program empowerNCER oleh salah seorang kawannya, sekaligus membuka ruang untuk dia meneroka cabang perniagaan berbeza.

"Kemudian saya terfikir bahawa ramai orang mencari laptop dan telefon ketika PKP. Pada waktu itu, saya tiada sebarang asas dalam bidang itu. Tapi saya fikir, saya tak takut nak mencuba, saya pun masih muda. Jatuh bangun dalam berniaga merupakan perkara biasa.

"Saya dapat tahu mengenai program empowerNCER melalui kawan saya dan mula menyertai kursus pada awal 2021. Alhamdulillah, kursus pun dah habis, saya juga dah dapat sijil. Selepas keluar program ini, saya ambil pula pekerja dalam kalangan B40 untuk bantu mereka.

"Kini saya beroperasi di dua buah kedai di pusat bandar Bertam Perdana dan Penaga. Saya ada dua pasukan merangkumi 10 pekerja. Allah bagi rezeki ini untuk saya bantu orang lain pula," ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.

Gembira dengan perjalanan hidupnya ketika ini, Mizal turut menzahirkan rasa terima kasih kerana adanya NCER yang memberi platform untuk dia mengembangkan potensi dan minat dalam bidang keusahawanan.

ncer3

Mizal kini mempunyai dua kedai di negeri kelahirannya.

"Kalau tanya pendapat saya, memang saya galakkan semua orang untuk sertai program ini. Ada pelbagai bidang yang diajar. Kami disediakan set lengkap untuk permulaan, diberi pengalaman dan juga sijil.

"Saya nak ucapkan terima kasih kerana membuka mata saya dan mengubah hidup saya 100 peratus. Sampai ke tahap ini, saya sangat berterima kasih," ujar anak peniaga kuih itu.

Hasil penglibatannya dalam Kursus Baikpulih Telefon Bimbit dan Komputer Riba menerusi empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, pendapatan Mizal juga meningkat 300 kali ganda daripada pendapatan asal sebanyak RM500 sebelum dia menyertai program berkenaan.

empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan menyediakan peserta dengan pengetahuan dan pemerkasaan yang mereka perlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran atau menjadi pemilik perniagaan.

Ia terbuka kepada Orang Asli, wanita, belia, siswazah menganggur dan pekerja yang diberhentikan daripada komuniti B40 serta peniaga kecil dan perusahaan mikro. Ini adalah selaras dengan pelan pemulihan negara yang memastikan kelangsungan hidup dan perniagaan.

Ibu 4 anak berniaga dari rumah

Selain Mizal, Lim Sok Tiang, 47, yang juga ibu kepada empat cahaya mata turut terkesan teruk selepas pandemik Covid-19 mula meruncing tahun lalu.

ncer4

Antara daun yang dijadikan sebagai produk teh herba oleh wanita itu.

Menurut wanita dari Pulau Pinang itu, suaminya yang bekerja kilang berhadapan pemotongan gaji ketika PKP sehingga memberi kesan buat dia sekeluarga.

"Sebelum ini saya tak bekerja. Suami pula hanya bekerja kilang. Tapi ketika PKP, suami saya kena potong gaji," imbas wanita itu.

Enggan berdiam diri dan menangisi nasib yang menimpa, Sok Tiang tampil dengan idea bernas untuk meneroka peluang perniagaan demi membantu keluarganya.

Berbekalkan pepohon menghijau di sekeliling rumahnya, dia mendapat ilham untuk memasarkan teh uncang yang dihasilkan sendiri olehnya melalui perniagaan yang diberi nama Along Garden.

"Saya memulakan bisnes teh uncang selepas pendapatan suami terjejas kerana pandemik Covid-19. Selepas menyertai program JomNiaga@NCER, saya telah memulakan bisnes makanan yang beroperasi dari rumah dan turut membuat penghantaran di seluruh Pulau Pinang.

"Menerusi tunjuk ajar dan pendedahan oleh JomNiaga@NCER, saya mula mendapat keyakinan diri untuk menghasilkan dan menguruskan produk secara atas talian," katanya.

Menurut Sok Tiang yang menetap di Seberang Perai Tengah, program JomNiaga@NCER ternyata membuka matanya untuk menjalankan perniagaan secara lebih sistematik dan efektif.

Ujarnya, penyertaan dalam program JomNiaga@NCER juga dianggap sebagai keputusan terbaik, sekaligus membuka ruang dan memberi platform untuknya mengembangkan lagi bisnes tersebut.

"Saya banyak belajar dengan JomNiaga@NCER. Daripada awal saya tak tahu apa-apa, kini saya tahu bagaimana untuk membuat perancangan, pengiraan kos dan macam-macam lagi.

"Saya tak menyesal masuk program ini. Saya percaya ini merupakan permulaan untuk perjalanan yang lebih jauh," ujarnya lagi.

ncer5

Perniagaan teh uncang ini turut dipasarkan secara atas talian menerusi Shopee.

Kini, Sok Tiang turut memasarkan produk teh uncang miliknya menerusi gedung dalam talian Shopee.

Bercerita mengenai produk itu, Sok Tiang berkata idea penghasilan teh tersebut bermula dari taman di kediamannya sendiri.

"Dulu keluarga dan jiran-jiran saja yang minum teh ini. Sekarang saya mahu komersialkan dan bagi orang lain cuba manfaatnya juga. Sekarang saya jual lapan jenis teh.

"Saya buat formulasi sendiri, merangkumi beberapa jenis daun seperti daun jambu batu, daun kari, daun pokok tin, daun anggur dan sebagainya. Semua saya tanam di rumah secara organik dan bebas daripada racun.

"Selain mengawal diabetes, ia juga baik untuk darah tinggi, sistem penghadaman dan bantu kita tidur dengan baik," ujarnya yang turut menerima permintaan pelanggan dari negeri luar Pulau Pinang.

Untuk rekod, NCER telah melancarkan JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER sebagai program laluan pantas untuk menangani kumpulan sasaran yang terjejas dan merangsang ekonomi selepas Covid-19. Program-program tersebut menyediakan insentif kepada syarikat, PKS dan perusahaan mikro untuk mencipta pekerjaan dan pada masa yang sama menjana peluang untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi melalui keusahawanan.

ncer6

Program seperti empowerNCER, JomNiaga@NCER dan entreprenuerNCER banyak membantu penduduk di bahagian utara negara ini.

Pelaksanaan JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER sebagai pendekatan bersepadu untuk penciptaan pekerjaan dan pengekalan pekerjaan, memudahkan peserta mendapat pekerjaan segera dan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh yang singkat.

Inisiatif itu melibatkan program JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER yang berteraskan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran, diikuti dengan latihan kemahiran insaniah untuk meningkatkan daya saing mereka yang mengambil bahagian dan secara langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan yang menganggur dan pekerja yang diberhentikan.

Perusahaan mikro dan PKS khususnya dalam sektor tidak formal, serta belia, wanita, siswazah menganggur dan pekerja yang diberhentikan yang berminat untuk mendapatkan kemahiran baharu dan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, dipelawa untuk memohon program-program ini. Pada masa yang sama, syarikat yang ingin mengembangkan perusahaan di rantau ini juga akan dibantu.

Sambung legasi bapa

Jika Sok Tiang memulakan perniagaannya ketika pandemik, lain pula ceritanya mengenai lelaki ini yang meneruskan legasi perusahaan rempah oleh bapanya yang sudah bermula sejak sekian lama.

ncer7

Mohamed Ashraf kini menyambung legasi perniagaan yang asalnya diusahakan oleh bapanya.

Menurut Mohamed Ashraf, 34, bapanya mula berniaga bihun sup pada tahun 1989 di sebuah medan selera di Butterworth, Pulau Pinang.

Pada 2012, bapanya melangkah setapak dalam bidang perniagaan apabila mula menghasilkan rempah yang digunakan dalam masakan bihun sup untuk dijual kepada orang ramai.

"Ia bermula pada 1989, ketika bapa saya berniaga bihun sup di sebuah medan selera di Butterworth. Asalnya, rempah ini dihasilkan untuk buat bihun sup saja.

"Kemudian pada 2012 baru kita buat di rumah untuk jualan rempah. Pada 2015, saya ambil alih dan buat secara komersial," ujarnya.

Biarpun bermula secara kecil-kecilan di rumah, mereka kini beroperasi di sebuah kilang di Kawasan Industri Ringan Asajaya, Bukit Mertajam.

ncer8

Program entrepreneurNCER direka bentuk sebagai program holistik dan komprehensif yang mana menyasarkan untuk membantu perusahaan mikro dan PKS.

Kini, Buhari Spices Sdn Bhd yang dibantu oleh enam pekerja menawarkan 44 jenis produk merangkumi rempah daging, rempah sup, rempah kurma dan banyak lagi.

Menurut Mohamed Ashraf, dia berterima kasih dengan adanya program entreprenuerNCER yang membantu dirinya dalam mendapatkan sijil Halal dan MeSTI, sekaligus memberi manfaat cukup besar buat perusahaan itu.

Tambahnya, pensijilan yang diperoleh menerusi program entreprenuerNCER ternyata memberi kelebihan untuk dia menembusi pasaran lebih luas dan meraih keyakinan orang ramai terhadap produk keluaran syarikat itu.

"Setiap perniagaan memerlukan pengiktirafan. Contohnya produk makanan, ia memerlukan pensijilan untuk dijual kepada pelanggan. Sudah tentu pembeli nak sesuatu produk yang meyakinkan.

"Syarikat saya telah memperoleh sijil Halal dan MeSTI hasil daripada pengubahsuaian kilang melalui pembiayaan di bawah program entreprenuerNCER.

ncer9

Buhari Spices Sdn Bhd menawarkan 44 jenis produk merangkumi rempah daging, rempah sup, rempah kurma dan banyak lagi.

"Dengan adanya pensijilan ini, lebih mudah untuk kami bergerak dan memperkenalkan produk kami. Saya target nak pastikan setiap rumah yang menggunakan rempah ratus, mereka gunakan rempah ratus kami," ujarnya.

Mengenai entrepreneurNCER, ia direka bentuk sebagai program holistik dan komprehensif yang mana menyasarkan untuk membantu perusahaan mikro dan PKS mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Program ini terdiri daripada kolaborasi strategik NCIA dengan Maybank dan Agrobank untuk menyediakan bantuan pinjaman mudah kepada usahawan melalui kaedah tambah nilai 50 peratus kadar faedah bank.

Tawaran ini melengkapkan lagi Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS (ADF) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas akibat Covid-19.

Bantuan pembiayaan juga terbuka kepada sektor perniagaan seperti pertanian, pembuatan, borong dan runcit, pemprosesan makanan, pelancongan dan perkhidmatan.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan Program-Program Modal Insan NCER, layari laman web NCER di www.ncer.com.my atau boleh kunjungi mana-mana Pusat empowerNCER berdekatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain