suria

Tanah runtuh: Dua mayat ditemui termasuk pemandu Toyota Vellfire

Anggota bomba sedang mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan. Foto: Ihsan JBPM

SEORANG pemandu lori berusia 31 tahun tertimbus dalam insiden tanah runtuh di laluan KM34 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, menghala ke Cameron Highlands.

Difahamkan, mayat mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi ditemui kira-kira jam 8 malam Khamis.

Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa yang berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak itu masih diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh di jalan Cameron Highlands, kenderaan dipercayai tertimbus

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands: Pemandu lori sayur terperangkap

Sebuah lagi kenderaan yang terperangkap dalam insiden runtuhan itu ialah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire.

"Pada masa ini, usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan mangsa dalam Vellfire.

"Operasi menyelamat akan diteruskan sepanjang malam sehingga semua mangsa ditemui," kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid kepada pemberita di tempat kejadian.

Dalam perkembangan terbaru, polis berkata mayat mangsa kedua tanah runtuh, yang merupakan pemandu Vellfire, turut ditemui.

Lelaki yang berasal dari Klang itu dipercayai dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.

Mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an, namun identitinya masih tidak diketahui.

Mayat dibawa keluar kira-kira pukul 9.55 malam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata beliau percaya kejadian itu berpunca daripada hujan yang berterusan.

"Kawasan yang terjejas termasuklah laluan sepanjang 100 meter yang menyebabkan trafik dari kedua-dua belah laluan terhalang.

"Laluan tersebut tidak selamat untuk pengguna jalan raya," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain