suria

Penukaran Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi menteri cetus kontroversi

Kerajaan telah memulakan proses penggantian daripada Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L sejak April tahun ini. Gambar hiasan

PENUKARAN kereta Toyota Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi untuk kegunaan menteri kerajaan Persekutuan telah menimbulkan kontroversi.

"Menteri-Menteri kerajaan BN-PN-PAS mendapat kereta Vellfire baru sejak April 2021. Perkara ini berlaku ketika rakyat sedang kehilangan kerja, syarikat lingkup dan kes membunuh diri menjadi-jadi pada tahun 2021," kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

"Sebagai contoh orang muda dapat e-wallet RM150 secara one-off. Penjawat awam pula mendapat RM700 one-off. Rakyat pasti bergembira kerana menerima bantuan tersebut. Tahniah.

ARTIKEL BERKAITAN: Proton Perdana kekal kenderaan rasmi menteri, timbalan menteri

"Namun di sebalik pemberian sagu hati kepada rakyat ini, tanpa disedari, Menteri-Menteri BN-PN-PAS ini sebenarnya dapat menikmati bantuan yang paling banyak. Mereka mendapat 'bantuan kereta Vellfire' sebanyak RM 5,759.35 sebulan. Tahniah," tulisnya dalam catatan di Facebook pada Rabu (3 November).

Sim juga menambah, hutang negara mencecah RM1.3 trilion dan hutang kerajaan pula mencecah 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sim mengulas soalan lisannya di Dewan Rakyat yang bertanya kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai kos penyediaan Vellfire sebagai kereta rasmi untuk menteri sejak Mac 2020, dan kos bulanan pajakan kenderaan mewah itu daripada syarikat konsesi, Spanco.

Menerusi jawapan yang diberikan, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah memulakan proses penggantian daripada Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L sejak April tahun ini.

"Kos pajakan bulanan terdiri daripada RM4,851.61 untuk kos sewa bulanan dan RM907.74 untuk kos penyelenggaraan,

"Kerajaan juga telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi sehingga September," kata Tengkul Zafrul dalam jawapan bertulis itu.

Sim berkata kebanyakan menteri yang kini memegang jawatan dalam Kabinet adalah mereka yang lantang menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan menukar kenderaan rasmi.

"Dan paling nyata, Najib yang lantang membantah kerajaan PH, sekarang membisu seribu bahasa," tulisnya lagi.

Sementara itu, dalam catatan Facebook, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan menukar kereta rasmi itu tiada kaitan dengan beliau.

"Kenapa salah Najib pulak? Yang cadang Vellfire untuk Menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan PM (perdana Menteri) ketujuh.

"Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa Darurat dan takde parlimen, (di bawah) kerajaan PM kelapan," kata Najib. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain