suria

Penghuni pusat pemulihan dadah maut didakwa dipukul warden

Penghuni pusat pemulihan dadah swasta maut didakwa dipukul warden.

SEORANG penghuni pusat pemulihan dadah swasta maut didakwa dipukul seorang warden di pusat berkenaan di Sintok selepas dia cuba melarikan diri dari pusat itu lewat petang Khamis (4 Nov).

Pusat yang menempatkan kira-kira 50 penduduk itu terletak di Bukit Kachi di Sintok.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa berusia 31 tahun dari Perlis itu dikatakan melarikan diri dari pusat pemulihan kira-kira jam 3 pagi Khamis.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 1km dari pusat pemulihan dan dibawa pulang semula ke pusat tersebut.

“Kira-kira jam 11 pagi, seorang warden lelaki berusia 46 tahun didakwa mula memukul dan menendangnya.

“Penduduk lain yang hadir di tempat kejadian berjaya menenangkannya.

“Terdapat kesan lebam di leher, dada dan bawah dagu mangsa serta kesan calar di badan,” katanya.

Kamarul menambah, mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika mandi kira-kira jam 6.15 petang Khamis.

“Mangsa dibawa ke Hospital Jitra oleh warden dan beberapa yang lain namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek telah direman selama tujuh hari mulai hari ini,” katanya pada Jumaat (5 Nov). - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain