suria

Kira-kira 1.5 juta kenderaan di lebuh raya utama sempena Deepavali

Kira-kira 1.5 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti Deepavali. Gambar hiasan

ALIRAN trafik di tiga lebuh raya utama sesak dengan kira-kira 1.5 juta kenderaan sempena cuti Deepavali.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, sebanyak 1.27 juta kenderaan berada di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), 150,936 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) merekodkan 53,451 kenderaan pada Rabu (3 November).

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh balik kampung, melancong... tapi jangan lupa SOP! - PM

"Trafik di plaza tol utama juga menunjukkan peningkatan mendadak pada hari Rabu.

"Situasi ini sudah dijangka memandangkan ia bakal menghampiri hujung minggu dan bersempena sambutan Deepavali," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Trafik di Plaza Tol Juru menunjukkan peningkatan paling ketara sebanyak 138.51 peratus, iaitu 49,081 kenderaan pada Rabu berbanding 20,578 kenderaan pada 15 Oktober lalu, ketika beberapa hari selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.

"Ini diikuti Plaza Tol Duta dengan peningkatan 10 peratus iaitu 67,458 kenderaan di plaza tol berbanding 60,381 sebelum ini.

"Trafik di Plaza Tol Sungai Besi meningkat 2.37 peratus iaitu 41,683 kenderaan berbanding 40,721 kenderaan sebelum ini, manakala Skudai menunjukkan peningkatan trafik sebanyak 10.84 peratus," katanya.

Trafik di Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak juga menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.06 peratus, 7.53 peratus dan 4.01 peratus, tambahnya.

Tambahnya, walaupun aliran trafik meningkat, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tidak mengesan sebarang kesesakan luar biasa. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain