suria

Berita baik! Atlet e-sukan diberi pengecualian cukai hadiah wang kemenangan

RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan.

KERAJAAN memperuntukkan RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara bagi memperkasakan sukan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan digunakan khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

Katanya, kerajaan juga menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.

"Peruntukan ini antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik," katanya dalam pengumuman Bajet 2022 pada jumaat.

Kerajaan juga katanya akan memperuntukan RM50 juta bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara bagi memastikan rakyat kembali aktif.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, RM20 juta lagi akan disediakan bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

Atlet e-Sukan kelahiran Malaysia yang telah mengharumkan negara juga bakal diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan mereka.

"Saya amat gembira apabila membaca berita bahawa terdapat atlet e-Sukan anak tempatan yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa di Romania baru-baru ini.

"Kejayaan seperti ini adalah bukti bahawa negara kita mempunyai bakat-bakat muda yang perlu disokong dan digilap.

"Bagi mengiktiraf pencapaian atlet e-sukan kelahiran Malaysia yang telah mengharumkan nama negara seperti NothingToSay, xNova, Mushi dan Oli, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

esport, oku, mof, zafrul, bajet 2022

Artikel Berikut

Artikel Lain