suria

Dibuang keluarga, dimalukan hingga reputasi tercalar... peritnya hidup mangsa aplikasi Ah Long

Mangsa Ah Long aplikasi dimalukan sehingga ada yang dibuang keluarga. (Gambar File)

GAMBAR anak dan isteri saya diambil dari telefon bimibt, kemudian mereka buat suntingan dengan memasukkan gambar lucah dan mereka "viralkan" pada rakan-rakan, keluarga dan juga di media sosial.

Begitulah nasib yang menimpa salah seorang mangsa yang datanya dicuri Ah Long.

ARTIKEL BERKAITAN : Awas! Ah Long makin ganas... 'godam' telefon peminjam, data peribadi umpan diugut

Berkongsi nasibnya dengan mStar, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Eddy berkata, dia terjebak dengan pinjaman Ah Long ketika negara di letakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya jumpa apps ini di Facebook, masa tu PKP sudah bermula dan banyak projek saya yang tak dapat diteruskan, claim projek saya juga tergendala disebabkan PKP.

“Jadi saya mula tertarik dengan apps ini sebab dia hanya minta kad pengenalan sahaja, kemudian mereka minta saya muat turun apps mereka dan isi semua maklumat yang diperlukan untuk proses loan tersebut.

“Selesai sahaja isi maklumat pada apps tersebut mereka akan hubungi kita, tak sampai 20 minit dah dapat duit,” katanya yang berasal dari Sabah.



Antara poster seorang mangsa Ah Long yang tular. Menurut mangsa Ah Long terbabit mencuri gambar anak dan isterinya dari telefon bimbit tanpa dia sedari.

Menurut Eddy, dia memohon pinjaman sebanyak RM1,000 namun dia hanya menerima RM650.

“Tempoh bayar balik adalah tujuh hari, lepas tujuh hari mereka kata mereka akan viralkan saya pada nombor yang mereka curi dari telefon saya.

“Bunga satu hari dia charge RM120, jadi lepas 7 hari saya perlu bayar balik RM1,840.

“Tapi belum sampai tempoh yang diberi mereka dah viralkan saya,” katanya.



Ah Long aplikasi ini menggunakan selfie yang dihantar peminjam sebagai syarat untuk meminjam sebagai modal untuk menggugut mereka.

10 minit pinjaman lulus

Sementara itu seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ida berkata, pada mulanya dia tidak sedar bahawa syarikat pinjaman tersebut merupakan syarikat pinjaman Ah Long.

“Mula-mula saya pinjam RM300 dari salah satu aplikasi, masa tu saya tak tahu benda-benda ni (Ah Long menggunakan aplikasi mudah alih), saya jumpa pun dekat Facebook.

“Mereka suruh saya rakam video cakap saya nak pinjam duit, tak sampai 10 minit lepas tu saya dapat WhatsApp kata lulus.

“Saya dapat RM150 perlu bayar balik RM300, tapi saya berjaya settlekan mula-mula,” katanya, menambah dia terpaksa meminjam bagi menanggung kos perbelanjaan keluarga setelah berpisah dengan suaminya.



Modal digunakan untuk menarik peminjam.

Menurut Ida, dia kemudiannya mula menerima tawaran tambahan dalam jumlah yang tinggi, dan setelah beberapa kali menerima, dia akhirnya terjerat.

“Bila jumlah pinjaman yang diberi makin tinggi sampai satu tahap saya dah tak mampu bayar, saya akan pinjam A untuk bayar B, kemudian pinjam C, last-last ada dekat tujuh, lapan apps yang saya pinjam, jumlah keseluruhan mencecah RM2,500.

“Setiap hari bangun tidur saya macam nak gila fikir, macam mana nak cari duit untuk bayar pinjaman tersebut,” katanya, yang juga seorang guru.

Ah Long lain jadi “penyelamat”

Menurut Ida, sindiket ini bijak memerangkap mangsa untuk membuat hutang baru, terutama sekali apabila mereka sedar peminjam mempunyai hutang dengan Ah Long lain.

“Ah Long-Ah Long ni semua kebanyakannya dari sindiket yang sama sebab bila awak bermasalah dengan syarikat A, tiba-tiba syarikat B hantar WhatsApp tawarkan pinjaman dengan bayaran bulanan yang tinggi,” katanya yang menetap di Tanah Merah, Kelantan.



Apabila peminjam mengalami masalah untuk membayar hutang, Ah Long lain akan menjadi "penyelamat" dengan menawarkan pinjaman.

Reputasi ditempat kerja tercalar

Ida berkata, kegagalannya membayar semula pinjaman serta faedah tinggi yang ditetapkan mengakibatkan Ah Long tersebut bertindak memalukan dia kepada rakan termasuk majikannya.

“Ah Long ni hantar mesej pada mereka kemudian saya dipanggil guru besar, rakan-rakan saya bercakap belakang kemudian ada diantara mereka yang termakan kata-kata Ah Long tersebut, mereka ingat saya guna nama mereka sebagai penjamin.

“Ada kawan saya yang maki saya, suruh "tolong settlekan, kalau dah hutang bayarlah".. Mereka tak sedar kalau saya bayar pun, Ah Long tetap akan viralkan saya,” katanya, menambah dia telah melunaskan bayaran pokok.

Keluarga tak mengaku saya darah daging mereka, mak tak bagi saya jejak rumah.

KAK YAN.

Dibuang keluarga

“Keluarga tak mengaku saya darah daging mereka, mak tak bagi saya jejak rumah,” kata, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Yan.

Berasal dari Gerik, Perak, Kak Yan berkata, dia menerima ugutan demi ugutan sehinggakan dia takut untuk tidur pada malam hari.

“Saya buat pinjaman pada bulan 11 tahun lepas melalui aplikasi Secureland (dreamland), Asia Lend dan Capital Venture.

“Pada mulanya saya pinjam RM300, dapat tangan RM150 ada yang RM180 tapi kena bayar RM300 setiap apps tu, ada RM500 tapi dapat RM350, ada juga yang pinjam RM1,000 tapi dapat RM600.

“Mulanya saya bayar okay tak sangkut mana-mana, tapi bila keluarga saya ditimpa masalah kewangan yang teruk, minta pinjam pada sedara mara pun masing-masing tak mahu bagi, jadi disitulah mulanya saya ada overdue,” katanya, menambah dia meminjam dari enam aplikasi yang berbeza.



Gambar Kak Yan disunting dengan perkataan jelik dan disebarkan.

Menurut Kak Yan, Ah Long terbabit menubuhkan WhatsApp group dengan rakan-rakannya sebagai ahli kemudian memuat naik gambar dirinya yang diedit dengan kata-kata jelik.

“Saya buat laporan polis sebab kawan saya yang dapat viral tu report kata saya beri nombor mereka pada Ah Long, suami saya berusaha cari duit untuk bayar bila dah settle saya terpaksa pinjam semula.

“Lepas tu saya tak dapat bayar jadi dia viralkan saya lagi, saya tanya pegawai penyiasat, mereka kata jangan bayar lagi tapi saya tetap bayar jumlah yang saya terima,” katanya.

Menurut Kak Yan selain nombor telefon, dia turut menukar telefon bimbit untuk mengelak daripada maklumat dirinya dicuri Ah Long terbabit serta terus-terusan diganggu.

Nantikan laporan pendedahan selanjutnya mengenai isu ini pada Jumaat dan Sabtu..

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain