suria

Polis temui mayat wanita tak berpakaian, orang awam dakwa bau busuk dari dalam kedai

Mayat ditemui selepas bomba membuka 'roller shutter' kedai berkenaan.

SEORANG wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan diselubungi dengan kain disyaki dibunuh di sebuah kedai makan yang terletak di Bandar Rinching, Semenyih pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui MERS 999 yang mendakwa terdapat bau busuk dari dalam kedai berkenaan pada jam 7.33 pagi.

Mohd Zaid berkata, menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir mangsa berusia dalam lingkungan awal 50-an itu dilihat pada Sabtu ketika dia berniaga di kedai makan tersebut.

"Kita telah menemui mayat wanita berkenaan setelah 'roller shutter' dibuka oleh anggota Bomba dan Penyelamat," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. -SINAR HARIAN

Artikel Lain