suria

Muhyiddin dedah ada pihak kurang senang tuntutan tidak dilayan, sedia berdepan usul undi percaya di Parlimen

Muhyiddin sewaktu menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung, pada Rabu.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa terdapat pihak yang kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

"Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

"Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

"Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan," katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Umno tarik balik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin... sudah hantar surat akuan 'mencukupi angka' kepada Agong - Zahid

ARTIKEL BERKAITAN: Darurat: "Amat dukacita"... Agong ulang 2 kali sebelum tegur Takiyuddin dan kerajaan

Muhyiddin berkata, beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memaklumkan kepadanya terdapat lapan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

"Saya telah menyembah maklum kepada baginda bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

"Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit," katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau menyedari kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.

"Maka, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

"Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September ini," katanya.

Melalui cara itu katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

"Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini," katanya.

Pada Jumaat lalu, warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu, bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh baginda, sedangkan pembatalan belum lagi diperkenankan.

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Semasa sesi menghadap tersebut, Baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita selepas Takiyuddin tidak menuruti titah Baginda malah memberi kenyataan bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.

Susulan itu, Umno pada Selasa sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain