suria

Umno tarik balik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin... sudah hantar surat akuan ‘mencukupi angka’ kepada Agong - Zahid

Ahmad Zahid (tengah) pada sidang media, petang Selasa.

UMNO secara rasmi menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu diumumkan oleh presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media secara maya, petang Selasa.

Ahmad Zahid berkata, Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

ARTIKEL BERKAITAN: Darurat: "Amat dukacita"... Agong ulang 2 kali sebelum tegur Takiyuddin dan kerajaan

Jelasnya, kenyataan terbaharu Muhyddin pada Selasa tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

"Muhyiddin mesti bertanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri secara terhormat," katanya.

Beliau menambah, surat akuan ahli-ahli Parlimen Umno yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ia sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan," tegas Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mempersembahkan baki surat akuan bersumpah ahli-ahli Parlimen Umno kepada Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat.

Sidang media secara maya itu dibuat selepas Mesyuarat MKT parti, petang Selasa.

Ahli-ahli Parlimen yang turut serta pada sidang media berkenaan ialah Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain