suria

Hanya 80 ahli Parlimen dibenar hadir sidang Dewan Rakyat minggu depan

Persidangan akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai, sebelum disambung pada 2 Ogos 2021.

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata Parlimen bercadang untuk menghadkan hanya seramai 80 wakil rakyat yang dibenarkan hadir ke Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini.

Mohd Rashid berkata perkara itu disarankan oleh Jawatankuasa Dewan Rakyat dan akan dibincangkan dengan ketua whip parti politik masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai

"Kita menjangkakan perkara ini diputuskan minggu depan sebelum Parlimen mula bersidang.

"Macam tahun lepas, daripada 222 ahli Parlimen, hanya 80 sahaja yang boleh masuk. Tajuk-tajuk yang akan dibentangkan semasa sesi itu berkisar kepada isu berkait Covid-19," katanya selepas menghadiri program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang, Johor Bahru, pada Ahad.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu menambah, jawatankuasa berkenaan juga akan mencadangkan setiap sesi persidangan dihadiri seramai 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 ahli Parlimen pembangkang.

"Sekiranya kita mengikuti macam tahun lalu, setiap sesi ada 80 ahli Parlimen. Kita ada sesi pagi dan petang, mereka boleh bertukar-tukar (ikut giliran) tetapi perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

"Setiap sesi akan berlangsung selama kira-kira empat jam bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang, dan 2.30 hingga 5.30 petang," tambahnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mohd Rashid juga berkata Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari, manakala tiga hari untuk Dewan Negara.

"Setiap menteri dan timbalannya mesti mengehadkan kakitangan mereka kepada dua atau tiga orang di bangunan itu dan mereka mesti menjalani ujian saringan Covid-19 dan mematuhi semua SOP," katanya.

Mohd Rashid mengingatkan semua anggota Parlimen yang hadir hanya mengemukakan soalan kepada menteri dan timbalan menteri yang berkaitan dengan perkara Covid-19 sahaja.

"Tidak ada perbahasan yang dibenarkan dalam mesyuarat, tetapi wakil rakyat diberi ruang untuk mengajukan soalan, cuma usul mengenai persidangan secara hibrid tidak dibuat kerana kita boleh bersidang secara biasa," katanya. - THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain