suria

Ambil iktibar... usah kunjung-mengunjung, elak jadi ‘korban’ ketika Aidiladha

Dr Noor Hisham menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mengulangi kesilapan dengan tidak mematuhi SOP ketika perayaan.

SETIAP perayaan semestinya sinonim dengan aktiviti ziarah, jamuan serta kunjung mengunjungi antara satu sama lain.

Menjelang sambutan Aidiladha pada Selasa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya lebih bertanggungjawab agar tidak menjadi 'korban' kerana Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini, di mana kes positif dilaporkan meningkat dan mencetuskan kluster komuniti susulan sambutan perayaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara rentas negeri, ziarah Aidilfitri... 2 keluarga cetus kluster Covid-19 terbesar di Hulu Terengganu, jangkiti 3 kampung lain

"Dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga 16 Julai 2021 sahaja, sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

"Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

"Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu (5) serta Kelantan (3)," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ujar beliau, kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan Covid-19.

"Justeru, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai 2021.

"Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

"Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama 'terkorban' dek kerana Covid-19," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain