suria

Dakwa kerajaan gagal... Umno serta merta tamatkan sokongan terhadap Muhyiddin

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sokongan Umno terhadap Perdana Menteri ditamatkan serta merta.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditamatkan serta merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tujuh kegagalan kerajaan yang digariskan sebagai syarat utama sokongan Umno terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa sedang berlaku? 30 Ahli Parlimen Umno didakwa setuju Ahmad Zahid perlu letak jawatan

"Berpandukan tujuh perkara itu ternyata bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) pada 11 Mac 2020, sebagai syarat meneruskan sokongan.

"Berpandukan kepada tujuh kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta, " ujar beliau menerusi sidang media pada awal pagi Khamis.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar Muhyiddin berundur dengan cara terhormat bagi membolehkan calon baharu dilantik memegang jawatan itu.

"Justeru, Umno mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

"Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

"Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15

Terdahulu pada Rabu petang, d​​ilaporkan 30 Ahli Parlimen Umno didakwa bersetuju sekiranya Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai presiden dalam parti itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin, Ahmad Zahid perlu mencontohi pemimpin parti terdahulu yang mengundurkan diri ekoran terlibat dengan kes rasuah di mahkamah.

Ahmad Zahid sebelum ini turut menghadapi krisis kepemimpinan selepas 25 anggota Parlimen Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Nazri Aziz (Padang Rengas) yang mendakwa mereka telah kehilangan kepercayaan terhadap beliau sebagai presiden.

Ketua Umno Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin berkata mesyuarat Majlis Tertinggi harus mempertimbangkan untuk menangguhkan tugas Ahmad Zahid sebagai presiden parti buat sementara waktu sehingga beliau dapat memberikan jawapan dalam beberapa isu.

Ia termasuklah usaha kononnya untuk berkolaborasi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentang kehendak akar umbi Umno.

Berikut merupakan tujuh kegagalan yang disebutkan oleh Ahmad Zahid:

1. Kegagalan Kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

2. Kegagalan Kerajaan dengan menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara Umno yang sejak dari awal membantah keras proklamasi tersebut.

3. Kegagalan Kerajaan untuk mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi.

4. Kegagalan Kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori. Ini termasuklah tuntutan Moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad.

5. Kegagalan Kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri.

6. Kegagalan Kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik.

7. Kegagalan Kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain