suria

Kerajaan tidak pernah sorok sebarang maklumat, kata Dr Jemilah mengenai kes kesan susulan imunisasi (AEFI)

KADAR AEFI negara setakat ini masih di paras purata kes global.

JUMLAH kes-kes yang mendapat kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) di Malaysia selari dengan jumlah purata kes yang dilaporkan global.

Malah Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood juga menjamin bahawa kerajaan tidak pernah menyorok apa-apa maklumat dan bersedia untuk berkongsi sebarang maklumat penting jika perlu.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai penularan video-video di yang dikatakan kesan daripada pengambilan vaksin di media sosial.

ARTIKLE BERKAITAN: Jangan sebar atau kongsi! KKM nafi mesej tular kononnya penerima vaksin Covid-19 mati selepas makan durian

ARTIKLE BERKAITAN: Vaksinasi Covid-19: Rekod baharu, Malaysia lepasi 250, 000 dos harian

Menurut Dr Jemilah perjumpaan diadakan setiap minggu di antara pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membincangkan mengenai setiap kes AEFI.

“Kami akan berbincang secara mendalam setiap kes AEFI dan kami juga mengikut penanda aras AEFI di peringkat global Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain.

“Apa yang boleh saya perkatakan adalah jumlah kes kita tidak melebihi negara lain, angka kita selari dengan purata kes-kes global, ” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Katanya, kita tidak boleh mengaitkan semua kes kematian yang berlaku disebabkan oleh vaksin semata-mata.

“Sekiranya kematian berlaku selepas vaksin diberikan, atau dalam jangka masa tertentu, bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian.

“Ini penting kerana kita perlu meilhat adakah individu terbabit mempunyai kondisi premorbid atau komorbid, atau mereka sudah terlampau tua dan vaksin itu hanyalah kebetulan.

“Jadi kita perlu melihat punca kematian, tapi sudah semestinya kematian itu sesuatu yang menyedihkan tapi kita tak boleh tunding jari kepada vaksin semata-mata, ” katanya ketika sidang media selepas pelancaran kempen Virus Hunter, pada Rabu.

Kempen yang dilancarkan Penang Science Cluster dengan kerjasama Kedutaan Amerika ini bertujuan bagi mendedahkan golongan remaja kepada penyakit berjangkit melalui pameran virtual yang boleh dilayari di www.virushunterexhibit.com.

Sementara itu, Dr Jemilah berkata satu panduan mengenai pengudaraan di kawasan tertutup termasuk sekolah dan juga pejabat akan dikeluarkan kepada orang ramai.

Ini penting katanya bagi mengurangkan kebolehjangkitan Covid-19 yang boleh tersebar melalui titisan air liur mikroskopik atau aerosol.

“Kita sudah bercakap dengan arkitek, kita juga sudah bercakap dengan saintis dan melihat bagaimana jangkitan secara aerosol mula berlaku dan bagaimana pengudaraan memainkan peranan penting.

“Kita sudah membawa isu ini dan saya rasa garis panduan akan dikeluarkan kepada orang ramai mengenai bagaimana mereka boleh memastikan pengudaraan di pejabat selamat, ” katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain