suria

Umno, BN sepakat Parlimen bersidang semula... tolak usul undi tak percaya

Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

AHLI Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) bersepakat menggesa supaya sidang Parlimen diadakan segera bagi memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli-ahli Parlimen Umno dan BN menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah berhubung keperluan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Selaras dengan itu, ahli-ahli Parlimen daripada parti Umno/BN bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin - Agong

"Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan," katanya dalam satu kenyataan yang mewakili ganti bersama semua ahli Parlimen BN termasuk menteri dan timbalan menteri parti berkenaan, petang Rabu.

Ismail Sabri berkata, ahli-ahli Parlimen Umno/BN turut bersepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh kerajaan sebagai usaha memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19.

"Menteri serta timbalan menteri daripada Umno/BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutama melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

"Apa yang pasti keutamaan ahli-ahli Parlimen Umno/BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa drpan negara," katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

"Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara," katanya.

Pada 16 Jun lalu, sesi perbincangan khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri lapan Raja-Raja Melayu, berlangsung di Istana Negara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain