suria

Nekad terjun ‘flyover’ elak diberkas, tiga penjenayah alami kecederaan

Tindakan nekad tiga penjenayah yang terjun 'flyover' untuk mengelakkan diberkas polis, akhirnya mengundang padah. Foto: Sinar Harian

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Tindakan nekad tiga daripada empat suspek pecah rumah yang terjun dari jejambat di Jalan Tampoi, berdekatan Plaza Angsana, Iskandar Puteri, untuk mengelakkan daripada dicekup polis bagaimana menemui kegagalan apabila mereka berjaya diberkas.

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun turut mengalami kecederaan patah tangan, bahu dan pinggang.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di tepi Jalan Seri Orkid, berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini pada pukul 4.45 pagi.

"Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kenderaan tersebut supaya berhenti, namun tidak diendahkan dan terus memecut laju ke arah jalan besar Skudai.

"Semasa kereta itu diekori oleh pihak polis, ia telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berdekatan Plaza Angsana Johor Bahru.

"Kenderaan itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, kita dapati keempat-empat suspek yang juga penganggur berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Dzulkhairi, semasa proses tangkapan dibuat, tiga suspek bertindak terjun dari jejambat berhampiran lokasi tersebut, namun berjaya ditahan dan tiga suspek terbabit mengalami kecederaan.

Hasil siasatan lanjut, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Polis turut merampas dua helmet, sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong, dua telefon bimbit, sebatang pemotong bunga, sepasang sarung tangan, sebatang pemutar skru, sebatang penukul dan sebatang pelayar boleh laras serta kenderaan yang dinaiki.

"Kesemua saspek disyaki telah melakukan kes pecah rumah di kawasan Jalan Bakti, Mutiara Rini.

"Tiga suspek yang mengalami kecederaan kini berada di dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah di sini," ujarnya.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain