suria

PM minta rakyat kekal semangat juang hadapi cabaran pandemik Covid-19

Muhyiddin menyertai Program Mega Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia secara virtual pada Jumaat.

RAKYAT Malaysia diharap agar terus cekal dan kekal dengan semangat juang dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama serta sokongan antara petugas kesihatan dengan masyarakat telah membantu negara berdepan dengan keadaan semasa ketika ini.

"Jangan kita rasa lemah semangat dan mahu berundur atau tunduk kepada apa-apa cabaran berat yang sedang dihadapi negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan Pemulihan Negara... ketahui fakta 4 fasa diumum PM

"Pastinya ini memerlukan kerjasama, sokongan dan bantuan sesama kita. Perjuangan atau peperangan besar seperti ini tidak mungkin berjaya tanpa pengorbanan besar daripada kita semua,"kata Muhyiddin.

"Kita harus terus semangat ini dan terus saling membantu. Insya Allah, Allah akan membuka segala apa yang ada untuk menolong kita. Mudah-mudahan kita akan keluar daripada pandemik ini dalam tempoh tidak berapa lama lagi," tambahnya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya semasa siaran langsung Program Mega Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia.

Program tersebut melibatkan 89 PKRC di seluruh negara.

Ia disertai barisan Menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, pimpinan tinggi kerajaan dan petugas barisan hadapan serta pesakit Covid-19 di PKRC.

Bacaan selawat dan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta rakyat Malaysia untuk bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

"Sekarang, kita berada di fasa pertama dan inilah harapan kita untuk keluar daripada wabak ini dalam beberapa bulan lagi.

"Kerajaan telah melakukan apa yang termampu untuk membantu rakyat, dan akan terus melakukannya," kata Perdana Menteri lagi. - THE STAR

Artikel Berkaitan

Artikel Lain