suria

Tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan untuk dikompaun - Ismail Sabri

Tindakan tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan. gambar hiasan - FAIHAN GHANI/The Star

TINDAKAN tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan menjadi satu kesalahan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, timbul kekeliruan berhubung penggunaan aplikasi MySejahtera sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila terdapat anggota penguatkuasa yang mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal melakukan kemas kini aplikasi itu.

"Saya ingin maklumkan bahawa tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera tidak menjadi kesalahan.

"Ini adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – Covid Malaysia yang mana ia tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan, petang Isnin.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sehubungan itu, Ismail Sabri menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

"Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (prosedur operasi standard) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri memberitahu, sebagai warga yang mahu rantaian Covid-19 diputuskan, masyarakat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.

Ini kerana kata beliau, MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

"Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.

"Sebagai rakyat, kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat yang diberikan adalah tepat dan benar, termasuklah sekiranya mendapat simptom atau mempunyai kaitan dengan mereka yang telah dijangkiti Covid-19.

"Aplikasi ini adalah untuk memudahkan kita khususnya dalam keutamaan memastikan keselamatan sosial untuk kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat, kontak kasual dan sebagainya akan dapat ditangani dengan segera," ujar Ismail Sabri.

Terdahulu, dilaporkan seramai 31 pekerja dikenakan kompaun gara-gara tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera mereka.

Difahamkan, kesemua 31 pekerja tersebut bukannya kes positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain