suria

Dakwaan pandu uji kereta ketika PKP, MB Kedah beri keterangan kepada polis

Muhammad Sanusi (gambar fail) sedia memberi keterangan kepada polis. foto G.C.TAN/The Star

SUSULAN isu yang tular mengenai Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor didakwa melanggar Sekatan Pergerakan Penuh dengan singgah dan memandu uji sebuah kenderaan di Pulau Pinang Jumaat lalu, beliau akan memberi keterangan kepada polis pada petang Isnin.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh dan sekiranya tindakannya itu menyalahi undang-undang beliau bersedia untuk membayar kompaun yang akan dikenakan.

Beliau juga memberitahu dengan rela hati akan membantu menjelaskan bayaran kompaun mana-mana individu yang dikaitkan dengan tindakannya itu.

"Polis akan datang petang ini ambil keterangan saya. Kalau polis dapati apa yang saya lakukan itu suatu kesalahan, saya yakin kesalahan itu tidak akan membawa hukuman gantung sampai mati.

"Mungkin kompaun sahaja jadi saya akan bayar kompaun itu. Kalau jurujual kereta pun dikenakan kompaun saya akan bayar juga kompaun itu.

"Kalau siapa-siapa pun kena kompaun disebabkan apa yang saya lakukan itu saya akan bantu untuk bayar," katanya ketika membuat lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Dewan Al Farabi, Kompleks Pendidikan Jalan Stadium di Alor Setar, pada Isnin.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurutnya, beliau tidak berniat untuk membeli kereta baharu sebaliknya cuma tertarik dengan kereta yang diletakkan di luar ruang pameran ketika singgah membeli makanan di sebuah kedai serbaneka berdekatan.

"Saya tidak membuat pandu uji langsung sebaliknya penjual itu saja yang memandu kenderaan tersebut.

"Selepas itu, kami melihat pula varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi kali ini saya tidak masuk ke dalam kenderaan. Apabila pintu kenderaan kedua dibuka, saya ternampak seseorang merakam gambar kami," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau turut memaafkan wanita yang dipercayai menularkan isu itu.

"Cuma ia mungkin boleh bertanya secara baik mengenai apa yang berlaku pada waktu itu dan saya pun boleh jawab elok-elok. Saya pun tak tahu bila masa dia pusing ambil gambar kenderaan yang saya gunakan ke Kuala Lumpur itu dan segalanya," katanya.

Pada Ahad, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menafikan Muhammad Sanusi melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain