suria

Impak 60km/j! LRT 213 penumpang dan tren rosak dipandu uji bertembung... 47 parah, 166 cedera ringan

Keadaan penumpag yang cedera dalam LRT. foto Twitter

INSIDEN dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung membabitkan sebuah tren yang rosak dan sedang dipandu uji bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa seramai 213 penumpang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang cedera, manakala 166 penumpang cedera ringan.

"Kejadian berlaku antara antara dua stesen Kampung Baru dan stesen KLCC di laluan yang sama.

"Tren yang dari Gombak dipandu secara automatik mengandungi 213 penumpang manakala tren dari Kampung Baru adalah tren kosong yang mempunyai pemandu," katanya pada sidang media, Isnin malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh insiden babit 2 LRT, tular gambar penumpang cedera di media sosial

Mohamad Zainal berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kejadian disifatkan sebagai kemalangan.

"Kita mendapati mungkin berlaku kegagalan komunikasi. Ini adalah kemalangan dan kita masih menyiasat sekiranya ia merupakan kecuaian kerana melibatkan kecederaan awam, termasuk ramai yang cedera parah," katanya.



Penumpang yang cedera dibawa ke hospital. foto Bernama

Beliau berkata, penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan beberapa hospital lain.

Tular foto-foto dan video di media sosial menunjukkan beberapa penumpang cedera, lantai dengan kesan darah serta kerosakan pada gerabak.

Terdahulu, pengendali LRT, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada Isnin malam mengesahkan insiden berlaku membabitkan dua tren LRT.

"Kami ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang berhadapan dengan satu insiden yang melibatkan tren bernombor 40 dan 81," katanya.



Seorang mangsa yang dibawa keluar untuk diberikan rawatan. foto Bernama

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut meninjau situasi di stesen LRT terlibat memaklumkan Pasukan Tindakan Khas akan ditubuhkan dan siasatan akan dijalankan dalam tempoh dua minggu.

"Esok saya akan meneliti laporan awal kemalangan ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini mengenainya.

"Bagaimanapun, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan semua penumpang yang cedera mendapat rawatan supaya dapat segera sembuh," katanya pada sidang media di Stesen LRT Avenue K di ibu negara.

Beliau juga memaklumkan tren yang rosak dipandu uji dengan kadar kelajuan 20km/j manakala tren dengan penumpang pula bergerak pada tahap 40km/j, sekali gus menjadikan impak ketika pelanggaran adalah 60km/j.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain