suria

Kasihan tengok Dr Noor Hisham... berkali-kali rayu rakyat buat ‘lockdown’ kendiri, patuh SOP kalau ada urusan penting di luar

Tan Sri Dr Noor Hisham merayu rakyat agar melakukan 'lockdwon' kendiri untuk tempoh dua minggu.

DI KALA kes Covid-19 mencatatkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkali-kali merayu kepada rakyat negara ini agar menghadkan pergerakan untuk membendung penularan virus berkenaan.

Dalam sidang media pada Sabtu petang, Dr Noor Hisham merayu agar rakyat melaksanakan 'lockdown' kendiri untuk tempoh dua minggu bagi memutuskan rantaian virus supaya hospital dapat menampung pesakit akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih lepasi angka 6,000! Jangkitan baharu 6,320 kes, 652 dirawat di ICU

"Masa dua minggu itu diperlukan Kementerian Kesihatan untuk kita melaksanakan beberapa kesiapsiagaan dan melihat kepada susun atur untuk meningkatkan lagi keperluan wad serta ICU untuk pesakit Covid-19.

"Kalau boleh dalam tempoh dua minggu ini kita boleh putuskan rantaian dan duduk di rumah," katanya.

Sidang media berkenaan turut disertai Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Dr Noor Hisham, peningkatan kes yang dicatatkan pada ketika ini adalah disumbangkan oleh aktiviti pergerakan dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan Aidilfitri.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kita belum lagi melihat kepada aktiviti-aktiviti selepas Hari Raya tetapi sebelum Hari Raya.

"Sama ada aktiviti pergerakan atau perhimpunan di pusat membeli belah atau tempat awam, ini terdedah kepada jangkitan yang meningkat sekarang ini.

"Kalau boleh duduk di rumah, kalau tiada urusan penting.

"Kalau ada urusan penting, sila patuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini mungkin dapat membantu KKM dari segi kesiapsiagaan," katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga 22 Mei (Sabtu) negara merekodkan jumlah kumulatif 505,115 kes Covid-19.

Setakat ini terdapat 652 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 370 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain