suria

Lebih ramai kerja dari rumah, tutup kedai awal strategi baharu kerajaan perangi Covid-19

Ismail Sabri mengumumkan dua strategi baharu untuk mengawal peningkatan kes Covid-19.

KERAJAAN akan melaksanakan dua strategi untuk mengurangkan pergerakan rakyat dalam usaha mengekang penularan virus Covid-19 yang semakin menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

"Bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan, 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah yang melibatkan seramai hampir 750,000 pekerja.

"Maklumat lanjut akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam masa terdekat.

"Selain itu, sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus. Manakala 40 peratus lagi akan bekerja dari rumah dan ini melibatkan seramai hampir 6.1 juta pekerja di sektor ini," katanya dalam sidang media Sabtu petang.

Menurut Ismail Sabri, operasi perniagaan juga adalah lebih pendek berbanding prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini iaitu dari jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Ini melibatkan semua aktiviti perniagaan termasuklah restoran, kedai makan, perniagaan pandu lalu, pembelian bawa pulang, dobi, pusat beli belah, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai makanan haiwan dan stesen minyak.

Bagaimanapun katanya, farmasi dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi sehingga jam 10 malam, begitu juga dengan stesen minyak di lebuhraya yang boleh beroperasi 24 jam.

Pasar malam dibenarkan dibuka dari jam 4 petang hingga 8 malam dan larangan makan di restoran masih kekal.

Mengulas lanjut Ismail sabri berkata dengan pelaksanaan sekatan baharu ini seramai 8 juta pekerja dari sektor awam dan swasta tidak perlu keluar bekerja.

"Kesannya amat besar kerana lebih mudah kita kawal aktiviti harian di kalangan rakyat.

"Saya percaya tak akan berlaku kesesakan jalan raya," katanya.

Sekatan-sekatan ini merupakan penambahan kepada SOP yang telah berkuatkuasa pada 12 Mei 2021 dan SOP lanjut boleh diakses di laman sesawang kementerian yang berkaitan dan MKN.

Semua sekatan tambahan ini akan berkuatkuasa bermula 25 Mei 2021 bagi seluruh semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu pengangkutan awam laut dan darat juga akan dihadkan kepada 50 peratus kapasiti penumpang sahaja.

Manakala kekerapan bagi sektor ini juga akan dikurangkan.

Artikel Lain