suria

Tindakan Israel cabul undang-undang antarabangsa, Muhyiddin harap serangan zalim ke atas Palestin dihentikan segera

Muhyiddin meluahkan rasa kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan rejim Israel.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan serangan rejim Israel ke atas Palestin sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan perlu dihentikan serta-merta.

Muhyiddin berkata demikian menerusi Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan secara langsung pada Sabtu petang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bumi mereka di Baitul Maqdis dan tebing barat terus dijajah untuk sekian lama dengan segala bentuk penindasan oleh rejim zionis Israel.

"Rakyat Palestin di Gaza pula terus diserang dengan ganas oleh rejim zionis Israel ketika umat Islam di sana sedang menunaikan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri.

"Ini adalah tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan. Bangunan-bangunan kediaman mereka dibom, ramai rakyat Palestin kehilangan nyawa dan cedera.

"Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali," ujar Muhyiddin.

Menurut Muhyiddin, tindakan kejam Israel seharusnya dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh masyarakat dunia.

Malah, tindakan itu disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga meluahkan rasa kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan rejim Israel.

"Sehingga kini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat," ujarnya lagi.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin berkata Malaysia, Indonesia dan Brunei akan mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengutuk serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

Selain Malaysia yang berterusan memberi sumbangan kepada Palestin, rakyat juga diseru untuk menyumbang kepada rakyat negara itu menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain