suria

Kebaikan kecil bawa perubahan besar... calonkan hero anda untuk Star Golden Hearts Award tahun ini

SGHA bertujuan menyampaikan inisiatif bermakna dengan hasil yang berkekalan kepada kumpulan penerima bantuan daripada pelbagai latar belakang.

MALAYSIA tidak pernah sepi tanpa hero yang tak didendang yang mana kebanyakan mereka dengan rela hati melangkah ke hadapan untuk menolong orang yang memerlukan dan kurang bernasib baik tanpa mengharapkan ap-apa balasan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketua juri Star Golden Hearts Award (SGHA), yang kini dalam tahun ketujuh penganjuran berkata, inilah sebab mengapa individu dan kumpulan tersebut dipilih dan diberi penghargaan.

"Hero yang tak didendang adalah seseorang yang berdedikasi untuk membantu kumpulan yang memerlukan dan orang miskin. Mereka melakukannya bukan untuk keuntungan wang atau penghormatan tetapi dengan tugas untuk menolong orang miskin, orang yang tertindas, dan yang kurang bernasib baik.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

“Mereka melakukannya dengan rasa tanggungjawab kerana memiliki hati emas. Inilah orang-orang yang ingin kita kenal dan beri penghargaan,” katanya dalam satu temu bual.

Beliau berkata, impak SGHA terus meningkat setiap tahun dengan penganugerahan menerima rekod 515 calon tahun lalu, yang terdiri daripada individu, kumpulan dan organisasi.

“Melihat kepada respons baik, ini jelas menunjukkan bahawa SGHA sudah melekat di hati ramai rakyat Malaysia.

"Masing-masing mempunyai kisah untuk diceritakan. Ini menggerakkan rakyat Malaysia kerana pengorbanan yang mereka lakukan dan rasa kewajipan dan komitmen mereka untuk membantu golongan kurang istimewa,” katanya.

Malah, beliau yakin cabaran yang hadir, kesan pandemik Covid-19 tidak akan menghentikan segala usaha murni mereka.

"Saya percaya ramai yang bersedia untuk berkhidmat," tambahnya.

SGHA meraikan individu yang saban hari memberi impak positif kepada masyarakat dan mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia dilancarkan pada tahun 2015 dengan Yayasan Gamuda menjadi rakan yang komited pada tahun berikutnya.

SGHA disokong oleh Star Foundation, badan amal Star Media Group Bhd, yang bertujuan menyampaikan inisiatif bermakna dengan hasil yang berkekalan kepada kumpulan penerima bantuan daripada pelbagai latar belakang.

Ketua Yayasan Gamuda, Sharifah Alauyah Wan Othman berkata, pandemik Covid-19 adalah salah satu daripada banyak cabaran sepanjang tahun lalu.

"Kami tahu bahawa kesan pandemik akan tetap ada dan perlu ditangani," tambahnya.

Menurut Sharifah Alauyah, hubungan dengan The Star telah meningkatkan kesannya dalam memperbaiki kehidupan masyarakat secara keseluruhan.

"Mereka secara efektif melibatkan masyarakat di lapangan dan memperkasakan masyarakat untuk menyelesaikan masalah dalam konteks mereka sendiri," tambahnya.

Ketua pegawai kandungan Star Media Group, Esther Ng berkata, pihaknya menemui rakan yang baik dalam usaha murni itu dan berharap dapat membawa SGHA ke peringkat yang lebih tingi.

Malah pada tahun ini, mereka diberi penghormatan apabila disertai juri baharu, Wakil Presiden Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Farah Othman.

Ujarnya, Farah akan membawa perspektif dan pandangan baharu dari ekosistem keusahawanan di Malaysia, kerana selama bertahun-tahun ini terdapat peningkatan pencalonan dan pemenang dalam kalangan keusahawanan sosial.

“SGHA telah memberi penghargaan kepada ramai individu dan organisasi yang luar biasa selama ini. Dengan memberi penekanan atas kisah mereka melakukan kebaikan, pemenang sebelum ini terus membuat perbezaan yang lebih besar dalam sebab sosial masing-masing, akhirnya mengubah kehidupan orang menjadi lebih baik.

"Ini adalah salah satu cara Star Media Group untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai organisasi media, untuk membantu membentuk negara dan mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," tambahnya.

Seramai 10 pemenang SGHA akan dipilih dan seorang akan diberikan Anugerah Inspirasi Gamuda.

Calon menjalani proses pemilihan yang ketat, merangkumi pemilihan dalaman, senarai pendek dan penilaian terakhir oleh panel juri.

Lee, Sharifah Alauyah, Ng dan Farah adalah antara lapan juri untuk SGHA tahun ini.

Antara yang lain termasuklah bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara dan penyokong alam sekitar Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Profesor Perubatan, Universiti Malaya dan Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, aktivis sosial terkemuka, Syed Azmi Alhabshi, serta perunding perlindungan kanak-kanak dan bekas penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai.

Pencalonan terbuka kepada mana-mana individu, kumpulan atau organisasi Malaysia yang melakukan usaha murni atau inisiatif jangka panjang untuk membantu orang lain tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

Orang ramai boleh mencalonkan calon untuk anugerah di bit.ly/sgha2021 bermula sekarang hingga 31 Julai.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain