suria

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal di Lembah Klang capai 90 peratus - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham melahirkan kebimbangan dengan statistik penggunaan katil ICU yang mencapai kadar 90 peratus. Foto: Fb Dr Noor Hisham Abdullah

KEMENTERIAN Kesihatan melahirkan kebimbangan dengan situasi meruncing ketika ini di mana kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 90 peratus pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Hospital Sungai Buloh menyaksikan lebih daripada 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, sambil menambah bahawa hospital hampir kehabisan katil.

"63 pesakit ICU, dengan lebih daripada 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan, dan lebih daripada 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh satu minggu ini di Hospital Sungai Buloh," katanya dalam catatan Facebook pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes baharu 2,776... 300 di ICU, 13 lagi korban Covid-19

Dr Noor Hisham menambah Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal/ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

"Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak," tulisnya.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan bagaimana sistem penjagaan kesihatan awam berusaha untuk menguruskan banyak kes Covid-19 yang kritikal.

Katanya, enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold) kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

"Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah sudah melebihi 70 peratus dengan sebahagian daripadanya hampir mencecah 100 peratus.

"Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus," tambah Dr Noor Hisham.

Beliau mengatakan bahawa pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

"Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

"KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui," ujarnya.

Dr Noor Hisham terus mengingatkan orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

"Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini," ujarnya lagi. - THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain