suria

Sekolah terus patuhi SOP ketat, golongan B40 tidak dilupakan

Kaedah 'rantai kunci' digunakan bagi memastikan bilangan pelajar terhad ketika menggunakan fasiliti seperti tandas. Foto: Azlina Abdullah/The Star

GURU mahu sekolah terus dibuka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan berkata beliau tidak bersetuju dengan penutupan sekolah secara keseluruhan.

Beliau berkata, guru telah dilatih untuk mengajar secara bersemuka dan menerusi tinjauan yang dilakukan NUTP tahun lalu, sebanyak 93 peratus dari 10,500 responden lebih menyukai kaedah pengajaran secara bersemuka.

"Kita harus ingat ada banyak lagi sekolah berada di kawasan zon hijau. Bukan semua sekolah di dalam kawasan jangkitan Covid -19, jadi tidak perlu penutupan secara menyeluruh.

"Lagipun, tidak semua pelajar mempunyai akses kepada guru mereka dari rumah. Kira-kira 2.7 juta keluarga berpendapatan rendah (B40) di negara ini akan mengalami kerugian sekiranya sekolah ditutup," katanya sambil menegaskan semua sekolah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan 2, Kuala Lumpur, Aderus Sardini berkata setiap pergerakan murid dipantau dengan ketat.



Guru-guru komited memastikan pelajar mematuhi SOP ketika berada di dalam kawasan sekolah. (Dari kiri) Aderus, Nurulhuda dan Fauziah.

"Murid hendak ke tandas juga ada SOP. Hanya seorang murid dalam satu kelas dibenarkan ke tandas dan hanya 4 orang murid dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

"Kami gunakan kaedah 'rantai kunci' di mana setiap kelas diberi rantai kunci dan apabila murid ingin ke tandas dan mendapati ada empat rantai kunci tergantung di pintu masuk, mereka perlu menunggu. Mereka tahu mereka tidak boleh masuk ke tandas pada ketika itu.

"Saya percaya semua sekolah mengikuti semua peraturan yang ketat dan SOP seperti ini. Saya lebih risaukan apa yang berlaku di luar berbanding di dalam sekolah," katanya.

Dalam satu kejadian baru-baru ini, Aderus berkata, seorang bapa memaklumkan kepada guru menerusi grup sembang yang dia positif Covid-19.

Pihak sekolah terus mengarahkan ibu bapa berkenaan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran.

"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dan mendedahkan murid kepada sebarang risiko dijangkiti.

"Guru-guru kami sentiasa berhubung dengan murid bagi memastikan pendidikan dan pembelajaran mereka tidak terganggu," jelasnya.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) SK Jalan Kuantan 2, Fauziah Mohd Rashid berkata, proses dan prosedur di sekolah dikawal dengan ketat.

"Daripada apa yang saya lihat tiada apa perlu dibimbangkan walaupun kami faham keprihatinan ibu bapa.

"Kami mengambil perhatian bahawa kebimbangan terbesar mereka adalah selepas penyuraian sekolah berlaku.

"Di sekolah saya, proses bersurai dilakukan secara berperingkat. Murid yang tidak terlibat dengan pembelajaran selepas sekolah akan menunggu ibu bapa mereka di kawasan menunggu yang telah ditetapkan.

"Ibu bapa tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah; mereka hanya perlu memaklumkan pada pihak sekolah nama dan kelas anak menerusi grup sembang dan kemudian guru akan melepaskan murid berkenaan seorang demi seorang," jelasnya.

Pembelajaran selepas sekolah melibatkan murid dari tahun yang berbeza setiap hari, jadi ia dapat melancarkan proses penyuraian murid kerana bilangan mereka yang sedikit.

Kehadiran murid ke sekolah juga memuaskan. Kebanyakan murid tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah kesihatan dan pengangkutan.

Rakan setugas, Nurulhuda Liza Aminuddin Rosli berkata pematuhan SOP sekolah dalam kalangan murid sangat memuaskan.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka tidak hadir ke sekolah sekiranya menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Mohana berkata, murid-murid teruja dan bersemangat untuk ke sekolah.

Kebanyakan murid memberitahu kepadanya yang mereka tidak seronok dan tidak memahami subjek yang dipelajari menerusi pembelajaran dalam talian yang dipelajari tahun lepas.

"Kami gunakan banyak masa mendidik murid untuk terus mematuhi SOP dan kami harap ibu bapa juga memainkan peranan mereka di rumah.

"Anak-anak ini sangat berdisiplin, mereka mematuhi SOP dan sentiasa membawa sanitasi mereka sendiri," katanya yang juga guru Bahasa Inggeris dan Muzik di SK Jalan Kuantan 1.

"Sudah tentu jika ada kes di sekolah, ia perlu ditutup untuk proses sanitasi demi keselamatan semua tetapi ia tidak boleh ditutup untuk waktu yang lama.

"Jika kita lakukan sedemikian, kesannya amat besar - anak-anak akan kehilangan minat dan menjadi malas untuk mencatat nota," katanya.

Tambahnya, tidak hadir ke sekolah dalam jangka masa yang panjang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan murid.

Kita tidak boleh abaikan B40

Sekolah menguruskan keperluan pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Berada di rumah dalam tempoh yang lama, hanya akan menyebabkan jurang akses pendidikan antara golongan miskin dan kaya, menjadi lebih besar.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, hanya satu pertiga pelajar mempunyai akses kepada peranti dan jaringan internet dan menjadikan situasi bertambah teruk apabila sebilangan kanak-kanak juga bergelut dengan persekitaran rumah yang tidak sesuai.

Katanya, meskipun kemunculan DidikTV sedikit membantu, namun tidak dapat menggantikan pembelajaran formal justeru sekolah perlu dibuka selama yang boleh.

"Menurut Organisasi Kesihatan Dunia, kadar penularan dalam kalangan pelajar adalah rendah. Sekolah adalah tempat selamat tetapi tidak dalam komuniti.

"Tiba masanya untuk meneroka dan merencanakan kelas bersemuka yang ditonton secara langsung serentak dari rumah seperti webinar dilaksanakan.

"Kementerian Pendidikan boleh melaksanakan sistem penggiliran iaitu pelajar hadir ke sekolah mengikut hari atau minggu tertentu, atau bahagikan waktu pembelajaran kepada pagi dan petang," katanya, sambil mencadangkan cuti persekolahan boleh dipendekkan.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) SK Jalan Kuantan 2, Kuala Lumpur, Aderus Sardini berkata, penutupan sekolah mungkin tidak menjejaskan murid yang mampu menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun mereka yang datang dari keluarga B40 akan terjejas kerana tidak dapat akses kepada peranti digtal.

"Meneruskan penutupan sekolah boleh menyebabkan pelajar bergaul dengan orang yang tak sepatutnya dan ini akan menjejaskan pembelajaran," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Sazali Azman Atar berkata, kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik memerlukan Program Makanan Tambahan (RMT) di sekolah untuk mengelakkan rasa lapar.

"Buat masa ini, biarlah sekolah dibuka namun perlu pastikan tahap keselamatan terurus. Jika kes di sekolah meningkat hingga terpaksa menutup sekolah, teruskan."

Katanya bagi pelajar yang kurang pintar, motivasi mereka adalah guru.

"Di sekolah, guru boleh memantau mereka seperti mata helang, berbeza dengan pembelajaran dalam talian. Jika sekolah ditutup, ke mana pelajar B40 akan pergi? Lebih separuh daripada mereka tidak mempunyai komputer riba untuk pembelajaran dalam talian," tambahnya lagi.

Pandangan



Murid Darjah 6 SK Jalan Kuantan 1, Kuala Lumpur, Muhammad Abdullah Umar Zainudin.

"Covid-19 ini menakutkan. Saya sangat takut tapi dalam masa sama gembira dapat kembali ke sekolah selepas lebih sebulan belajar secara dalam talian. Saya dapat bertemu dengan guru dan kawan-kawan yang lama tidak jumpa. Saya rasa selamat kerana saya dan rakan-rakan mematuhi SOP seperti mana yang diberitahu oleh guru. Sekarang saya lebih memahami subjek yang saya pelajari di sekolah kerana saya boleh bertanya kepada guru apabila saya mempunyai masalah."



Murid Darjah 6 SK Jalan Kuantan 1, Kuala Lumpur Aleeya Syaheera Ce'Sudin.

"Saya perlu berkongsi peranti dengan tiga adik beradik yang lain ketika PdPR dan membuatkan ia sukar untuk belajar. Sejujurnya pembelajaran di rumah tidak berapa membantu kerana ada antara kami tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran disebabkan terlalu lama memandang skrin... membuatkan kami hilang fokus. Ada antara rakan kelas saya yang sedikit nakal, jadi guru terpaksa mengambil masa mengajar mereka mengenai SOP, namun akhirnya mereka faham dan kami tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan SOP selepas itu.



Murid Tahun 6 SK Jalan Kuantan 2, Kuala Lumpur Mohammad Afiq Arrayyan Mohd Abrar.

"Saya suka subjek Sains dan saya rindu nak belajar secara bersemuka. Hadir ke sekolah memberi saya semangat untuk belajar sebab cikgu betul-betul berada di depan mata. Jika saya buat salah, cikgu akan tegur ketika itu juga, dan kalau saya tidak faham, saya boleh bertanya pada cikgu selepas selesai kelas."



Murid Tahun 6 SK Jalan Kuantan 2, Kuala Lumpur Wan Mahfuzzah Samihah Bahizal.

"Jaringan internet di rumah saya selalu tersekat-sekat, jadi ia sukar ketika sekolah ditutup, malah menyukarkan untuk saya belajar secara dalam talian. Saya lebih berkeyakinan untuk ke sekolah sekarang kerana setiap orang mengekalkan penjarakan dan sentiasa memakai pelitup muka. Guru-guru juga sangat memahami dan memastikan sekolah berada dalam keadaan terkawal."

Artikel Lain