suria

Covid-19: Sekolah bukan sekadar tempat belajar akademik, penutupan berterusan beri kesan kepada perkembangan holistik pelajar

Semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar perlu memainkan peranan dalam mematuhi SOP untuk mengelakkan penularan Covid-19 di sekolah. Foto: Azlina Abdullah/The Star

PEKELILING dan berita menerusi grup sembang berhubung penutupan dan pembukaan semula sekolah tular dalam masa seminit selepas ia dikongsi.

Suara kebimbangan ibu bapa semakin serius di media sosial berikutan jumlah kes Covid-19 yang masih berada di tahap yang tinggi.

Dapat difahami mengapa sebahagian ibu bapa meminta sekolah ditutup, tetapi hakikatnya daripada kluster Covid-19 seluruh negara, hanya 4.8 peratus yang melibatkan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu 10,000 dari sekolah, kolej matrikulasi, Institusi Pendidikan Guru dan sekolah berasrama.

Tidak kiralah berapa kecil pun jumlah tersebut, setiap kes positif pasti menimbulkan risiko penularan yang harus ditangani dengan serius.

Setiap ibu bapa, guru dan pelajar wajib memainkan tanggungjawab masing-masing dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah virus tersebut tersebar di luar kelas.

Kementerian telah menyatakan dengan jelas bahawa sekolah yang terjejas perlu ditutup untuk disanitasi segera selama dua hari walau hanya satu kes Covid-19 direkodkan.

Kemudian pihak pejabat kesihatan daerah akan mengenalpasti dan membuat keputusan sama ada sekolah tersebut perlu ditutup sepenuhnya, atau hanya kelas, bangunan atau tingkat yang terjejas sahaja yang perlu ditutup.

Dasar awam haruslah berpandu kepada data dan langkah-langkah yang dilaksanakan- seperti keputusan Kementerian Pendidikan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan penularan virus Covid-19 terutamanya kepada pelajar sekolah berasrama - mestilah fleksibel.

Justeru, dalam keadaan kita berperang melawan pandemik, dijangka lebih banyak sekolah ditutup dan dibuka semula dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Turut dijangka bahawa lebih banyak keputusan ad-hoc akan dibuat untuk menangani jumlah kes Covid-19 yang turun naik dalam kalangan masyarakat.

Apa yang penting adalah ketelusan dan kepantasan dalam menyampaikan mesej kepada ibu bapa dan komuniti kerana kegagalan untuk melakukannya boleh menimbulkan rasa panik yang tak sepatutnya berlaku.



Pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki perkarangan sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin telah menegaskan sekiranya situasi mendesak, sekolah akan ditutup.

Tetapi berdasarkan data terkini, tugas kementerian adalah memastikan sekolah terus beroperasi dalam persekitaran yang selamat.

Ibu bapa yang prihatin dan ingin menjaga anak-anak mereka di rumah boleh menulis surat kepada sekolah bagi menjelaskan alasan mereka.

Pelajar tidak akan dikenakan denda atau hukuman sekiranya tidak hadir ke kelas kerana kebimbangan ibu bapa mereka terhadap Covid-19 jika sekolah dimaklumkan lebih awal.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Justeru itu, menjadi hak dan tanggungjawab setiap ibu bapa dalam membuat keputusan sebaik mungkin untuk kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka.

Harus dijelaskan bahawa tidak ada kerajaan yang ingin meletakkan walau seorang pun kanak-kanak dalam bahaya, tetapi mengharapkan kementerian untuk melaksanakan penutupan sekolah secara menyeluruh apabila data menunjukkan ia tak perlu dilaksanakan adalah tidak adil terutama bagi golongan B40 yang bukan sahaja bergantung kepada sekolah untuk mendapat pendidikan yang baik tetapi juga untuk sokongan sosial.

Interaksi sosial - seiring SOP yang ketat, sangat penting dalam perkembangan holistik kanak-kanak.

Pendidikan, sebenarnya lebih daripada sekadar akademik.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain