suria

Najib mengaku tak guna aplikasi MySejahtera, sedia bayar kompaun - “Tidak ada double standard dalam istilah saya”

Najib mengaku tidak menggunakan MySejahtera ketika menjamu selera di sebuah restoran, baru-baru ini.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum menjamu selera di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Menerusi catatan di Facebook pada Jumaat, Najib menyatakan kesediaan untuk membayar denda dan bertegas tidak mahu sebarang isu 'double standard' dalam kesnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin mohon maaf tak patuh SOP, pulangkan 4 bulan gaji

"Ya benar. Saya makan di Kedai Nasi Ayam Chee Meng. Kedai ini popular di KL. Ramai yang beragama Islam makan di sini juga.

"Seperkara lagi ialah mengenai 'check-in'. Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana.

"Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian," ujarnya dalam posting itu.

Tambah Najib, dia lazimnya mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan dalam setiap aktiviti atau pergerakan.

"Tidak mengapa. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.

"Kompaun untuk tidak scan MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri. Saya bayar sebelum tempoh tujuh hari untuk dapat early bird diskaun 50 peratus iaitu denda RM750.

"Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standards dalam istilah saya," katanya.

Najib dalam pada itu juga berkata dia terbuka dengan pandangan dan kritikan yang dilontarkan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain