suria

Praktikal, murah, mudah! Sekatan jalan raya PDRM guna teknologi solar

Abdul Hamid (kiri) berkata, PDRM akan menggunakan teknologi solar dalam operasi SJR. Gambar kanan menunjukkan demonstrasi lampu solar di SJR di Ayer Keroh, Melaka.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk menggunakan teknologi solar dalam operasi sekatan jalan raya (SJR), berikutan peningkatan SJR semasa pandemik Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kemudahan logistik itu dipertingkatkan kerana penggunaannya praktikal, murah dan mudah.

Malah beliau memberitahu bahawa teknologi itu boleh dijadikan aset di setiap balai polis.

"Teknologi ini amat berguna sekiranya dapat dibekalkan kepada setiap balai PDRM untuk kemudahan pelbagai guna, bukan sahaja untuk sekatan jalan raya.

"Bahkan boleh dimanfaatkan bagi kegunaan selain waktu SJR. Salah satu contoh apabila terputus bekalan elektrik di balai," katanya.



Abdul Hamid (dua, kiri) pada Majlis Makan Malam dan Kunjung Hormat bersama IPK Johor. Turut serta Pengarah EPU, Datuk Yatimah Sarjiman; Ketua Pegawai Eksekutif KOP Mantap Berhad, Datuk Mohamad Asri Haris dan pengerusinya, Datuk Seri Ayob Yaakob.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam dan Kunjung Hormat bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Hotel Mutiara di Johor Baharu, Jumaat malam.

Terdahulu, diadakan program lawatan kerja Kop Mantan Berhad ke Zon Selatan membabitkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Abdul Hamid berkata, walaupun terdapat penjana elektrik, beliau melihat penggunaan teknologi solar lebih efisien, paling praktikal dan mudah disimpan serta murah.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan hasrat untuk berbincang dengan Koperasi PDRM (KPDRM) dan anak syarikat milik penuh KPDRM iaitu Kop Mantap Berhad (KMB) bagi mendapatkan teknologi solar itu yang dibekalkan oleh syarikat tempatan.

"Kita akan mengadakan satu pertemuan dengan KOP Mantap Berhad dan pihak pembekal untuk membuat pembentangan, perbincangan, demo.

"Dan kita akan pertimbangkan keperluan ini, seterusnya membentangkan bajet kepada Kementerian Dalam Negeri," tambah beliau.

Terdahulu, sebelum makan malam itu diadakan, acara sebelah pagi dihangatkan dengan program Lawatan Kerja KOP MANTAP Berhad Ke Kontinjen Xon Selatan (membabitkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Munawwareen Holdings Sdn Bhd, juga merupakan salah satu penaja utama lawatan berkenaan, turut membekalkan keperluan seperti pelitup muka dan air mineral kepada petugas barisan hadapan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain