suria

Kerajaan pandang serius isu potong barisan terima vaksin, pantau maklumat di media sosial

Kata Khairy, pasukannya sudah melakukan pemantauan terhadap komen pemberi maklumat di media sosial media berkenaan sebarang dakwaan terhadap isu tersebut.

PASTI ramai yang menanti giliran mereka untuk menerima suntikan selepas vaksin Covid-19 mula tiba secara berperingkat ke negara ini.

Namun, timbul pula isu kurang enak berhubung kejadian 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin.

ARTIKEL BERKAITAN: PM jadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Malaysia

Dalam perkembangan terbaharu, kerajaan memandang serius terhadap dakwaan berlaku kejadian 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin fasa pertama di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau telah pun memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan perkara tersebut.

Jelasnya, individu yang mahu membuat aduan mengenai kejadian itu boleh melakukannya dengan menghantar emel kepada beliau.

“Saya pandang sangat serius isu queue jumper (potong barisan) ini. Saya telah maklum perkara ini kepada Dr Noor Hisham agar tiada pemotongan ‘queue’.

“Whistleblower (pemberi maklumat) boleh hantar emel secara anonymous (merahsiakan identiti) terus kepada saya [email protected] dan saya akan siasat," katanya ketika mengulas mengenai isu tersebut menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.

Ramai individu di media sosial membangkitkan mengenai kejadian potong barisan yang dilakukan oleh sesetengah individu bukan daripada barisan hadapan dan kumpulan yang ditetapkan kerajaan untuk menerima vaksin pada fasa pertama PICK.

Khairy Jamaluddin yang merupakan Menteri Penyelaras PICK berkata, pasukannya sudah melakukan pemantauan terhadap komen pemberi maklumat di media sosial media berkenaan sebarang dakwaan terhadap isu tersebut.

“Pasukan saya telah memantau komen pemberi maklumat di media sosial mengenai kejadian potong barisan dalam pemberian vaksin.

“Saya segera kongsikan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong yang bersama saya dalam pasukan petugas untuk menyiasat.

“Kami memandang serius setiap pendedahan. Kesamarataan dalam pemberian vaksin adalah penting, ” ujarnya.

Dalam ciapan berasingan, Khairy mengulangi penjelasan kerajaan berkaitan individu dalam kumpulan yang menerima suntikan vaksin pada fasa pertama.

Jelas beliau, wakil rakyat merupakan kumpulan individu yang memang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama.

“Cuma sekarang ini ‘VVIP’ bukan wakil rakyat pun nak masuk senarai. Tak boleh. Dan untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil secara berperingkat. Ada negeri bagi semua exco sekaligus. Itu adalah tindakan yang tidak baik, ” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Muhyiddin berkata, pertimbangan tersebut dilakukan kerana mengambil kira tugas ahli politik yang banyak bertemu dengan rakyat. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain