suria

Kenyataan dimanipulasi, Ismail Sabri perjelas isu pengurusan kondominium mahu penyewa jalani ujian Covid-19

Ujian saringan Covid-19 ke atas penyewa tertakluk kepada keputusan pihak pengurusan kondominium itu sendiri, jelas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KERAJAAN menjelaskan bahawa pengurusan kondominium atau pangsapuri boleh meminta penyewa yang merupakan warga asing menjalani ujian Covid-19 sebelum membiarkan mereka memasuki unit kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata perkara itu tidak terpakai untuk penduduk tempatan.

Ujarnya, hal itu perlu dijelaskan setelah ia tular dan menimbulkan kekeliruan ramai.

"Ada ahli politik yang cuba memanipulasi jawapan saya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa ini hanya melibatkan orang asing yang tinggal di kondominium atau pangsapuri dan bukan untuk warganegara Malaysia.

"Sebenarnya, saya juga telah menjelaskan bahawa tidak ada polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyatakan bahawa mereka yang ingin memasuki kondominium atau kawasan perumahan diharuskan melakukan ujian Covid-19 terlebih dahulu," katanya pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ismail berkata kerajaan tidak mempunyai masalah jika pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan ingin mengenakan peraturan seperti itu kepada penyewa asing untuk menjaga keselamatan kawasan mereka.

"Semua ini bergantung kepada pengurusan," ujar Ismail.

Tambahnya, kondominium dan pangsapuri adalah kawasan persendirian di mana pihak pengurusan dapat menetapkan peraturan untuk kawasan tersebut, termasuk menghalang mana-mana pengunjung untuk masuk.

Dia memetik contoh di mana di Sarawak, terdapat rumah panjang yang tidak membenarkan orang luar masuk untuk melindungi keselamatan penduduk. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain